Friday 14 May 2021

Review Buku:Publishable By Death

 

Sumber: Google Play Books


❤❤❤❤❤
Tajuk: Publishable By Death
Penulis: ACF Bookens
Tahun: 2019
Halaman : 246 
Ebook dibaca menggunakan aplikasi Play Books

Salam sejahtera dan bertemu kembali. Hari ini saya akan kongsikan satu review ebook yang saya baca. Seperti buku-buku terdahulu, genre pilihan masih lagi cozy mystery. Saya masih memilih untuk membaca ebook berbanding buku fizikal untuk tahun ini. 

Sinopsis:


Harvey Beckett seorang pemilik kedai buku yang bakal melancarkan pembukaan kedai bukunya di St. Marin. Malangnya pada pelancaran kedai bukunya, dia terjumpa sekujur mayat di bilik stor kedai buku miliknya. Harvey perlu membersihkan nama dan reputasi kedainya daripada khabar-khabar angin yang tidak menyenangkan. 

Review:

Saya suka buku ini kerana lokasi utamanya ialah sebuah kedai buku. Kebanyakan cozy mystery yang saya telah baca banyak berlatarbelakangkan bakeri, cafe atau kedai makan. 

Penulis berjaya menarik minat saya untuk meneruskan bacaan dengan pengetahuannya yang mendalam tentang buku-buku pelbagai genre. Harvey digambarkan sebagai seorang wanita matang yang memang mencintai buku. Memang impiannya untuk memiliki sebuah kedai buku di sebuah pekan kecil yang menjadi tumpuan pelancong semasa musim panas. 

Uniknya kedai buku inj turut menempatkan sebuah kafe kecil untuk menempatkan pengunjung yang berminat untuk membaca sambil minum di situ. Selain itu, Harvey turut meletakkan tempat khas untuk anjing kesayangannya Mayhem dan anjing - anjing pengunjung melepak di kedai tersebut. 

Keputusan Harvey untuk berpindah ke St. Marin, Maryland disokong oleh rakan karibnya Mart. Malahan Martlah yang membantunya pada awalnya dari segi kewangan. 

Plot cerita berjalan dengan lancar dan disulami sedikit imbas kembali Harvey tentang ahli keluarganya. Selain itu turut diselitkan dengan latar belakang kedai bukunya yang asalnya adalah sebuah stesen minyak. 

Misteri pembunuhan Lucia Stevensmith  di bilik stor kedai buku tersebut menjadi bualan penduduk di St. Marin. Melalui perbualan Harvey dengan beberapa orang penduduk, boleh dikatakan si mati pernah menyakiti hati beberapa orang penduduk melalui penulisan artikelnya di akhbar di St. Marin's Courier. Malahan ada mangsa tulisan pedasnya terpaksa berpindah dari St. Marin. Oleh itu, beberapa suspek yang telah dikenal pasti. 

Pembukaan kedai buku Harvey boleh dikatakan agak sukses dan beberapa aktiviti lain turut diadakan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke kedai bukunya.  Saban hari kedainya menerima pelanggan baru sehingga dia hampir terlupa tentang pembunuhan tersebut. 

Klimaks cerita ialah apabila seorang anggota polis pula dibunuh di belakang kedai Harvey. Hal ini menambahkan suspens kepada kes pembunuhan pertama yang masih belum selesai. 

Apakah pula motif pembunuhan pegawai polis itu? Dalam fikiran saya semua orang berpotensi untuk menjadi suspek kerana sejarah mereka dengan si mati tadi. Rasa berdebar-debar pada akhir cerita kerana saya masih tidak dapat meneka siapa pembunuh sebenarnya. 

Keseluruhannya saya sangat seronok membaca cerita ini. Penulis bijak menggambarkan suasana kedai buku tersebut, orang - orang yang terlibat dan semangat setiakawan dalam kalangan komuniti di St. Marin. Saya berharap agar dapat membaca buku Bookens yang lain dalam siri ini pada masa akan datang. 

Buku ini saya berikan 🌠🌠🌠🌠

Wednesday 21 April 2021

Hari Buku Sedunia 2021

 

sumber foto: pixabay

Tanggal 23 April telah dipilih sebagai Hari Buku Sedunia dan Hak Cipta. Acara ini dianjurkan oleh UNESCO bertujuan mempromosi amalan membaca, menerbit dan hak cipta. Hari ini julung kali diraikan pada tahun 1995.

Antara program yang diadakan bersempena Hari Buku Sedunia di peringkat kebangsaan ialah Jom Baca Bersama 10 minit yang akan diadakan serentak pada pukul 1100-1110 (22 April 2021).

Sama-samalah kita memberi sokongan dengan menyertai program  Jom Baca Bersama untuk 10 minit pada 22 April 2021 ini.

Selamat Membaca.

Tuesday 20 April 2021

Books That Make Me Hungry

Salam sejahtera.

Pernah tak anda membaca buku dan terasa lapar apabila membaca tentang juadah atau makanan yang ditulis dalam buku tersebut?

Tahun lepas saya sudah kongsikan 10 tajuk buku yang menyebabkan rasa lapar apabila membacanya.

Saya pernah kongsikan tentang minat saya membaca buku yang berkaitan dengan makanan.Rasa satu kepuasan apabila penulis dapat membuatkan para pembaca (saya) membayangkan keenakan makanan walaupun sekadar melalui pembacaan.

Tahun ini saya akan kongsikan lagi lima buku yang bertemakan Books That Make Me Hungry.

sumber: goodreads & pixabay


Boba Girl

Mengisahkan Nazarina penggemar teh boba.Dia telah mengunjungi gerai yang ianggap tidak wujud oleh rakan-rakannya.

Jaja dan Din


Walaupun tajuknya tidak berkaitan dengan makanan. Tetapi dalam novel ini diselitkan tentang makanan yang digemari oleh keluarga Jaja. 

Panggil Aku Dahlia.


Buku ini salah satu buku yang saya gemari baik dari segi latar tempat dan jalan cerita. Mengisahkan Dahlia yang mempunyai sepupu yang mahir memasak terutamanya manisan. 

Usahawan Cilik: Burger Del


Kisah dua beradik yang menjual burger dan mereka terpaksa menghadapi persaingan dalam perniagaan mereka. Demi menarik hati pelanggan mereka mencipta pelbagai resepi burger yang lazat dan baharu.


Coklat

Zaza si comel yang sangat suka makan coklat. Membaca buku ini aduh rasa nak makan coklat juga.


Sunday 21 March 2021

Hadiah Kuiz Perdana


 Helo.Salam sejahtera semua.

Hari ini saya ingin kongsikan  tentang pengalaman menyertai Kuiz Perdana yang diadakan secara online anjuran Persatuan Pustakawan  Malaysia  pada bulan Disember 2020 yang lalu.

Penyertaan hanya semata-mata untuk suka-suka.Tak sangka pula saya mendapat Whatsapp memaklumkan saya salah seorang pemenang dan hadiah sudah dipos.

Beberapa hari kemudian saya menerima kiriman tersebut. Di atas merupakan hadiah yang dimenangi. Rasa seronok sangat.Terima kasih kepada penganjur.Semoga akan ada lagi pertandingan atau kuiz yang dianjurkan pada masa akan datang.