Friday 15 November 2013

Venom Suria

-google image-

Tajuk        :   Venom Suria 
Penulis    :   Mazni Aznita
ISBN        :  9789670342405
Penerbit  :   Buku Prima
Tahun       :  2012
Halaman  :  692
Harga       :  RM25.90 (SM) RM28.90 (SS)





Dia dicintai dua lelaki .. Satu mahu melindungi ... Satu lagi mahu membunuhnya ...




Kesibukan kerja menyebabkan saya tidak berkesempatan membaca novel. Tetapi saya tertarik untuk membeli novel ini kerana penulisnya. Ya, saya memang menanti-nantikan karya Mazni Aznita selepas membaca novelnya yang terdahulu Street Vendetta. Bagi saya Mazni Aznita seorang penulis yang berani menampilkan jalan cerita yang berlainan. Buktinya kelahiran novel Venom Suria memaparkan cerita berunsur “thriller”.

Novel ini mengisahkan tentang Suria Baharom seorang wartawan jenayah yang terkenal yang memiliki sejarah kelahiran yang hitam. Dalam menjalankan siasatan tentang kes pembunuhan misteri beberapa orang gadis , dia telah dipertemukan dengan Izwan dan Nazrul. Izwan seorang pegawai polis dan Nazrul ialah ketua Suria di stesen televisyen KZM. Kedua-duanya mempunyai perwatakan yang berbeza.

Cerita ini bermula dengan prolog yang terbahagi kepada beberapa zaman yang lampau dan akhirnya kepada tahun semasa iaitu 2010. Banyak watak dari zaman lampau itu mempunyai kaitan dengan misteri yang disiasat oleh Suria. Jadi kena baca dengan penuh konsentrasi watak-watak tu, takut keliru pulak. Namun, usaha Suria untuk menyiasat kes tersebut mendapat tentangan daripada ayahnya dan juga ketuanya Nazrul. Kenapa mereka berdua menghalang Suria? Apakah kaitan Suria dengan mangsa-mangsa pembunuhan kejam itu?


Walaupun novel ini berunsur misteri dan “thriller” tetapi penulis juga menyelitkan unsur cinta antara ketiga-tiga watak. Watak Izwan dan Suria mengingatkan saya kepada karya Khairyn Othman iaitu Dame Zoete Sarah yang juga menampilkan watak polis dan wartawan. Sekurang-kurangnya penulis berjaya menampilkan watak yang berbeza daripada watak dalam kebanyakan novel.

Penulis turut mewujudkan adegan suspens dan seram dalam novel ini. Pembaca tertanya-tanya apakah yang akan berlaku seterusnya. Berjayakah Mahira dihapuskan sebelum bulan bertukar warna? Setiap kali penulis menggambarkan tentang rupa paras perempuan berambut panjang itu, saya akan membacanya laju-laju. Takut! Kalau baca waktu malam sorang-sorang tak taulah.

Paling menyedihkan banyak nyawa tidak berdosa terkorban dalam cerita ini termasuklah orang yang rapat dengan Suria. Siapa? Kenalah baca sendiri. Kesudahan cerita amat menarik walaupun saya tidak puas hati dengan pilihan Suria. Why? Why?

Tahniah kepada penulis yang berjaya menyebabkan saya menghabjskan bacaan dalam masa sehari sahaja. Saya berharap agar penulis akan terus menghasilkan karya hebat pada masa akan datang.


Untuk novel ini saya bagi 4 ½  bintang.  Ok nak cari novel Sayangku Casper pulak lepas ni.








No comments:

Post a Comment