Wednesday, 17 December 2014

Review Buku : Miss Butter Cookies

Tajuk :  Miss Butter Cookies = Cik Danisa
Penulis : Q
ISBN:  9789670201924
Penerbit:  Adiwarna 
Tahun: Februari 2014 
Halaman:  546
Harga :  RM26.00 (SM)/RM29.00 (SS)


Pertemuan bermula apabila Danisa tersilap kereta adiknya dengan kereta Faez yang sama jenisnya iaitu Satria Neo.Babak ini sungguh lucu kerana reaksi Danisa yang terkejut apabila menyangka lelaki asing itu masuk kereta adiknya. Pertemuan tersebut menyebabkan Faez jatuh cinta terhadap Danisa. Tetapi dia tidak tahu nama dan cara untuk menghubungi Danisa.  Mujurlah Faez teringat dia pernah terlihat perkataan @butter cookies yang terlekat di baju Danisa. Rakan-rakannya, Zack dan Leo , memberitahu bahawa kemungkinan itu ialah tweet handle Danisa.Faez pun dengan gigihnya membuka akaun twitter demi Danisa! 


Cik Danisa ni hobinya membuat biskut dan kek. Salah satu kepakarannya ialah membuat biskut mentega. Dia mempunyai seorang adik lelaki yang bernama Danish yang sangat menyayanginya. Mereka berdua tinggal sebatang kara semenjak kematian orang tua mereka. Dipendekkan cerita percintaan Faez dan Danisa mendapat tentangan hebat daripada Danish yang tidak mahu kakaknya dikecewakan lagi. Tetapi, lama-kelamaan dia dapat menerima perhubungan mereka berdua.

Walau bagaimanapun, perhubungan Danisa dan Faez tidak sunyi dari dilanda badai. Panas disangka hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Angkara latar belakang keluarga Danisa yang tidak jelas menyebabkan hubungan mereka putus di tengah jalan.Selain itu, sikap Faez yang merahsiakan identiti sebenarnya daripada Danisa menambahkan kekeruhan hubungan mereka. Dapatkah Faez memenangi hati Danisa kembali? Sudikah Danisa memaafkan orang yang telah melukakan hatinya? 

Buku ini ialah karya kedua saudari Q dan karyanya yang pertama saya baca. Jalan ceritanya agak biasa tetapi masih ok.Tidak ada watak tambahan klise  seperti bekas kekasih yang cuba untuk merebut cinta Danisa atau Faez kembali. Cuma saya agak rimas dengan sikap melindungi @ mengongkong yang ditunjukkan oleh Danish terhadap Danisa.Tetapi mungkin ini untuk menunjukkan betapa akrabnya hubungan dua beradik itu? 

Saya suka babak perlawanan bola keranjang antara Faez dan Danish. Pada pendapat saya Q berjaya menggambarkan situasi perlawanan itu dengan baik yang mana istilah permainan bola keranjang digunakan dengan jelas. Bagi saya yang kaki bangku, wah itu memang hebat!

Q juga turut meyelitkan isu masalah sosial iaitu  remaja perempuan yang terlalu bebas sehingga memudaratkan mereka sendiri. Walaupun isu tersebut ditimbulkan melalui telemovie yang Danisa dan Danish tonton tetapi sekurang-kurangya memberikan peringatan kepada pembaca betapa pentingnya menjaga batas perlakuan dalam kalangan remaja.

Mungkinkah kisah Danisa dan Faez ini akan dilanjutkan lagi? Watak Syukri dan Juwita juga boleh dikembangkan kerana dalam novel ini mereka kelihatan agak mudah menerima nasib mereka.

Buku ini sesuai untuk bacaan santai dan saya dapat ilmu baharu tentang twitter dan bola keranjang! Buku ini saya berikan 3 1/2 bintang. 

No comments:

Post a Comment