Saturday 10 January 2015

Ke India dalam The Love Detective




Because love is the greatest mystery of all...

Tajuk :  The Love Detective
Penulis :  Alexandra Potter
ISBN: 9781444712148 
Penerbit:  Hodder
Tahun: 2014
Halaman: 359
Harga : RM35.90

Ini ialah bacaan pertama saya pada tahun 2015. Tajuknya The Love Detective tetapi bukan penyiasatan  biasa-biasa. Tidak ada pembunuhan atau penculikan tetapi ada kisah kahwin lari. Buku ini merupakan judul pertama dalam siri terbaru Alexandra Potter.
Kulit buku ini amat menarik dan manis dengan warna yang lembut. Di samping itu diselitkan gambar kapal terbang dan kereta yang digunakan oleh watak utama dalam buku ini. 
Ruby Miller seorang novelis yang  tidak percaya akan cinta lagi  kerana kecurangan bekas tunangnya. Berbeza dengan kisah-kisah yang sering ditulisnya yang sentiasa berakhir dengan kebahagiaan. Hatinya yang pedih secara tidak langsung mempengaruhinya dalam berkarya. Diana, ejennya mendesak Ruby untuk menyiapkan bukunya dengan segera. Diana juga yang memahami keadaan Ruby bercadang untuk mempertemukan Ruby dengan kawan kepada kawannya dalam satu janji temu. Ruby menolak cadangan Diana.Malah, Diana  mencadangkan agar Ruby pergi bercuti supaya dia dapat melupakan semua kenangan lalunya bersama Sam (bekas tunang).

Poskad dari adiknya Amy yang sedang bercuti di India menggerakkan hatinya untuk bercuti ke India selama seminggu Tanpa perancangan dia terus membeli tiket secara atas talian dan pergi ke India untuk bersama dengan Amy. Setiba di Goa,India, Amy telah membawanya ke resort tempat Amy menginap. Pada  keesokan harinya Amy telah membawanya ke kelas yoga! Bayangkan dalam keadaan yang masih letih dan hampir pengsan  ketakutan menaiki tuk-tuk yang sangat laju , dia melakukan yoga. Berlaku insiden lucu semasa kelas yoga iaitu dia tertidur kerana keletihan. Dia juga telah bertemu dengan guru Yoga bernama Shine. Dia mensyaki Amy mempunyai hubungan istimewa dengan Shine tetapi Amy  menafikannya.

Dipendekkan cerita, pada hari mereka berdua sepatutnya pulang ke London Amy telah menghilangkan diri. Rupa-rupanya Amy mahu kahwin lari dengan Shine dan mereka akan balik ke Rajasthan. Ruby yang amat menyayangi adiknya dan selalu bersifat melindungi mengambil keputusan untuk mencari Amy. Di sinilah bermula pengembaraan Ruby menjejaki adiknya dengan menaiki kereta api. Alangkah terkejutnya Ruby melihat keadaan kereta api yang akan dinaikinya ke Delhi . Keadaan kereta api tersebut tidak seperti yang digambarkan dalam novel atau filem. Dalam perjalanan itu dia berjumpa dengan seorang lelaki warga Amerika yang menjengkelkan.

Malang menimpa Ruby apabila begnya telah dicuri kecuali  telefon bimbitnya setibanya dia di Delhi. Mahu tidak mahu dia meminta pertolongan warga Amerika yang menjengkelkan bernama Jack . Mujurlah Jack sudi menolongnya menguruskan kehilangan pasport dan  barang peribadinya yang lain.Mereka berdua menyewa kereta yang membawa mereka ke Rajasthan .Pemandunya seorang lelaki India yang agak berumur bernama Rocky.

Banyak insiden terjadi sepanjang perjalanan mereka ke Rajashtan. Penulis turut menulis pengalaman Ruby dan Jack singgah di Taj Mahal. Rocky seolah-olah cuba memadankan mereka berdua agar menjadi pasangan kekasih. Walaupun pada awalnya mereka berdua sering bertelagah akhirnya mereka berdua mengakui perasaaan suka terhadap satu sama lain. Pada saya di sinilah tajuk The Love Detective diaplikasi kerana Ruby yang tidak percaya lagi kepada cinta cuba menyelami dan memahami erti cinta yang dirasakannya pernah hilang dahulu.

Bagaimana pula dengan nasib Amy? Adakah dia benar-benar menemui cinta sejatinya? Hubungan Ruby dan Jack juga mempunyai halangannya kerana Jack menyembunyikan sesuatu daripada Ruby. Malah Ruby sampai menuduh Jack seorang penyeludup batu permata!

Kisah Ruby dalam mencari cinta sejatinya digarap dengan baik oleh penulis. Gaya penulisan yang santai dan lucu sangat menghiburkan. Selain itu sedikit tanda tanya apakah tujuan Jack ke India? Dia tidak pernah memberitahu tujuannya sebenarnya ke India kepada Ruby. Kisah cintanya yang disangka seperti tidak ada harapan berubah menjadi sebaliknya.

Penulis turut menyelitkan unsur magis apabila Rocky menilik tangan Ruby dan mengatakan Ruby bakal menjalinkan hubungan dengan lelaki bernama  Simon. Selain itu, penulis turut memaparkan budaya kehidupan di India dengan terperinci seperti upacara perkahwinan dan juga makanan tradisi. Pembaca seolah-olah berada di India bersama Ruby dan Jack apabila membaca novel ini. Perkara ini tidak menghairankan kerana Alexandra Potter sendiri telah pergi ke India dan Rajasthan adalah tempat kegemarannya selain Udaipur. (Boleh baca interviewnya di sini). Walau apapun  kesudahan cerita ini berakhir dengan kegembiraan seperti juga kisah yang ditulis oleh Ruby.

Buku ini saya berikan 4 Bintang!


Menarik dalam buku ini : 
Terselit juga nama Malaysia di dalam buku ini. Mana tahu Malaysia bakal menjadi lokasi tajuk seterusnya dalam siri Ruby Miller.:)

"Heading past Malaysia and Africa, i reach the rack of cards..." (Hal. 10)

Walaupun nama Malaysia disebut sekali sahaja itu pun dalam kedai buku tetapi sekurang-kurangya memberi pendedahan kepada pembaca tentang kewujudan negara Malaysia.

p/s : Khabarnya lokasi  tajuk kedua dalam siri ini ialah Paris dan bakal terbit musim panas 2015!

No comments:

Post a Comment