Friday 27 September 2019

Review buku: Budak Beca (Ishak Haji Muhammad @Pak Sako)

Hello.
Salam sejahtera. Syukur sehari dua ini bacaan IPU di kawasan saya sudah semakin menurun. Sepanjang jerebu ini saya berjaya menghabiskan bacaan satu lagi novel iaitu Budak Beca. Penulisnya ialah Pak Sako atau nama sebenarnya ialah Ishak Haji Muhammad. Beliau berasal dari Temerloh, Pahang.

Kalau belajar subjek sejarah  sezaman dengan saya pasti anda pernah terbaca nama Pak Sako.Dari buku sejarahlah saya mengetahui  tentang karya terkenalnya iaitu Anak Mat Lela Gila dan Puteri Gunung Tahan.

Hari ini saya akan membuat review  untuk novel Budak Beca.


💮💮💮💮💮
Dari belakang buku:

Pak Sako bukanlah nama asing dalam dunia kesusasteraan Melayu. Dalam setiap tulisannya, nasionalisme yang menjadi jati beliau jelas terpancar. Kecintaan Pak Sako terhadap tanah air dan semangat antipenjajahnya diterapkan secara sinikal dalam banyak karya beliau. Pak Sako mengkritik dalam sendanya. Walaupun kadang-kadang teknik penceritaan yang digunakan oleh Pak Sako agak ‘berkhutbah’, namun estetika sebagai suatu karya masih lagi utuh terpelihara.



Dalam Budak Beca, Pak Sako mengkritik sikap bangsawan Melayu yang lupa akan peranan masing-masing. Pak Sako juga menyuarakan kebimbangannya bahawa orang Melayu hanya sekadar menjerit Merdeka! tatkala menyambut turunnya Union Jack, tetapi tidak tahu cara untuk mengisi kemerdekaan itu nanti. Beliau juga menyuarakan betapa orang Melayu semakin terhimpit di bumi sendiri dek sikap mereka. Keadaan ini diparahkan lagi dengan berlakunya perubahan sosioekonomi Tanah Melayu akibat dasar yang dibuat oleh penjajah Inggeris. Ini semua menyesakkan dada Pak Sako. Lantaran itu, lahirlah Budak Beca bagi mengingatkan dan menyedarkan orang-orang Melayu agar tidak berdagang di tanah sendiri.


Review saya.
Mamat seorang  bekas mata-mata khas yang telah bersara. Mungkin merasakan dia sudah tidak bekerja lagi menyebabkan dia menggelar dirinya sendiri sebagai Mamat Merdeka.Hasil simpanan semasa bekerja sebanyak 2 000  telah dibelanjakan  dengan borosnya tanpa memikirkan masa depan.

Walaupun ayahnya pernah mencadangkan agar Mamat menggunakan wangnya untuk membeli tanah tetapi nasihat ayahnya dipandang sepi. Begitu juga dengan nasihat Embung kenalannya tidak diendahkannya. Mamat sependapat dengan pemuda sebaya yang berfikiran untuk menghabiskan dulu wang yang ada, jika sudah habis boleh cari lagi.

Setelah wang simpanannya habis,  Mamat bekerja sebagai pembawa beca roda tiga.
Semasa bekerja sebagai pembawa beca dia bertemu dengan Mustapha.  Persahabatannya dengan Mustapha sedikit sebanyak telah memberikan kesedaran tentang pentingnya menabung untuk masa depan. Pada masa itu, para penduduk menyimpan wang di pejabat pos. Selain itu, Mustapha menasihatkan agar Mamat belajar  membaca dan  menulis  seterusnya menimba ilmu elektrik melalui rumah persekutuannya.

Novel Budak Beca ini berlaku di Terengganu dan  latar masa pada tahun 1950an iaitu sebelum dan selepas merdeka.  Banyak kritikan sosial yang ada disentuh. Antaranya tentang sikap segelintir masyarakat yang beranggapan jika negara sudah merdeka, mereka akan hidup senang tanpa berusaha.  Sikap tidak amanah dalam kalangan segelintir pegawai kerajaan turut disentuh dalam novel ini. Begitu juga  sikap golongan atasan yang tidak ada bezanya dengan masa kini.


Jika anda mengharapkan kisah romantik atau kisah penuh aksi dalam  novel ini maka novel ini bukanlah citarasa anda. Novel ini membuatkan kita berfikir sejenak tentang perkara yang dipersoal dalam novel ini masih lagi relevan dengan kehidupan masa kini. Wajarlah novel Budak Beca tersenarai dalam 100 novel melayu yang mesti dibaca  dalam Goodreads Malaysia.

Novel ini saya berikan ⭐⭐⭐⭐

💮💮💮💮💮💮💮
Tajuk : Budak Beca
Penulis: Ishak Haji Muhammad
ISBN: 9789830689524
Penerbit: ITBM (terbitan semula).
Tahun: 2014 Cetakan kedua
Muka Surat : 199 
Harga:RM25.00(SM)/ RM30.00 (SS)


No comments:

Post a Comment