Sunday 23 February 2020

Review Buku : Usahawan Cilik:Burger Del

sumber:Laman Web PTS
🍔🍔🍔🍔🍔🍔🍔
Tajuk: Usahawan Cilik: Burger Del
Penulis: Faizal Dzasrik
Penerbit: PTS
Tahun: 2010
Bacaan ebook menggunakan aplikasi Ookbee Buffet

Hai. 
Selamat bertemu kembali.
Hari ini saya nak kongsikan novel remaja yang dibaca menggunakan aplikasi Ookbee Buffet.

🍔🍔🍔🍔🍔

Novel bertajuk Usahawan Cilik: Burger Del telah diterbitkan pada 2010. 

Buku ini menceritakan tentang keluarga En. Fadhil yang berniaga burger. Perniagaan mereka pada awalnya amat mendapat sambutan penduduk setempat. Pada suatu hari, sebuah gerai burger yang baharu telah beroperasi di seberang jalan bertentangan dengan gerai burger mereka. Kehadiran pesaing baru menyebabkan pendapatan perniagaan mereka agak terjejas. Gerai pesaing berkenaan dimiliki oleh En Hisham bersama isterinya Pn. Jun dan dua orang anak gadis yang comel bernama Nini dan Lisa.

Isteri En Fadhil iaitu Pn Seha  yang kecewa dengan persaingan tersebut mengambil keputusan untuk mencipta beberapa resepi baharu. Akhirnya resepi baharu itu mendapat sambutan dan berjaya menarik kembali pelanggan yang lebih ramai.

Keluarga En Hisham tidak mahu mengalah dan mula memasang strategi. Adakah strategi mereka berjaya? Bacalah kisah selanjutnya dalam buku ini.

🍔🍔🍔🍔🍔
Beberapa perkara yang menarik tentang buku ini.Antaranya: 
1. Kegigihan keluarga En Fadhil memajukan bisnes burger melibatkan kerjasama semua ahli keluarga termasuk dua orang anaknya Farid dan Farhan.

2. Sikap Farid dan Farhan yang rajin meringankan beban kewangan ibu bapa mereka patut dicontohi.

3. Ilmu perniagaan turut diselitkan dalam bentuk yang mudah sesuai dengan nama siri ini iaitu Usahawan Cilik.

4. Setiap menu baharu yang direka disertakan resepi beserta anggaran kos.

5. Sifat suka membantu yang ditunjukkan oleh keluarga Encik Fadhil terhadap pesaing mereka.

6. Sikap tidak mudah putus asa dan sentiasa membuat inovasi penting jika ingin maju dalam bidang perniagaan.

Kesimpulannya, buku ini amat disarankan untuk bacaan santai bagi golongan remaja.
Walaupun diterbitkan 10 tahun yang lalu ia masih lagi relevan. Banyak pengajaran yang diselitkan dalam buku ini. 
Bahasa yang digunakan sesuai untuk golongan sasaran iaitu remaja. Banyak kejadian lucu berlaku di dalam cerita ini menyebabkan saya asyik tersenyum.Menu burger yang dihasilkan pula menyebabkan saya rasa teringin nak makan burger.
Buku ini saya berikan ⭐⭐⭐⭐
🍔🍔



No comments:

Post a Comment