Friday 27 March 2020

Review Buku:Ulam Kasih Sambal Cinta

Sumber: Portal Ilham

Hai.Salam sejahtera dan selamat bertemu kembali.
Harap semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja dan mematuhi arahan PKP.
Hari ini saya akan berkongsi tentang novel bertajuk Ulam Kasih Sambal Cinta tulisan Norzailina Nordin.

Sebenarnya saya sudah lama ingin membaca buku Ulam Kasih Sambal Cinta.Gara-gara terpikat dengan tajuknya yang sedap dan membaca sinopsis di belakangnya kelihatan menarik.

Setelah dua kali mahu memesan secara online tetapi ada masalah teknik saya pun berputus harap. Tetapi tak sangka akhirnya dapat juga membacanya secara eBook menggunakan aplikasi Ookbee Buffet.

Ikuti reviewnya di sini: 

Kisah ini berlatarkan dunia kulinari bertempat di sebuah hotel bernama Green Cove khususnya di Malay Kitchen.Watak utama ialah Adelia seorang chef de partie di Malay Kitchen, yang berusia  25 tahun. 



Pertemuan pertama kali Adelia dan Syed Idlan di majlis makan-makan Kayla kawan baik Adelia telah menimbulkan rasa negatif antara mereka berdua.Siapa sangka Si Konon Bijak itu merupakan pastry chef baharu di Hotel Green Cove. Maka, Adelia tidak dapat mengelak daripada berjumpa Idlan.


Puding krim karamel 
Selain watak utama Adelia dan Idlan, dua watak yang menarik perhatian saya iaitu Hafiez  dan Joanna. Hafiez bukan seorang chef tetapi pekerjaannya ada kaitan dengan produk makanan. 

Pekerjaannya menyebabkan dia berhubungan dengan Adelia. Hafiez menunjukkan minat peribadi terhadap Adelia. Adelia pun kadang-kadang macam suka dengan Hafiez. Watak Hafiez digambarkan  sebagai seorang lelaki yang gentleman dan pandai mengambil hati Adelia.

Joanna pula boleh dikatakan watak antagonis yang tidak suka dengan Adelia sejak kali pertama mereka bersua.Kesian Adelia sebab Joanna memang idolanya dalam bidang masakan. Beberapa insiden menunjukkan sifat tidak matang Joanna dalam menangani perasaan cemburunya terhadap Adelia.
Agaknya macam nilah pastri di hotel tu.
Sumber:pixabay
Namun, ada unsur humor diselitkan dalam novel ini. Misalnya melalui watak Sabariah anak kakak sepupu Adelia.Seorang gadis yang sedang menunggu keputusan SPM yang kadang-kadang bercakap agak lepas dan selalu berangan-angan kahwin dengan orang kaya. Kecoh dibuatnya apabila Adelia dihantar pemuda misteri pulang ke rumah menggunakan kereta BMW!
Membaca buku ini saya dapat rasakan penulis menggunakan pengalamannya sendiri dan juga banyak membuat homework untuk menulis buku ini. Ini dapat dilihat semasa Adelia membuat sesi penggambaran untuk masakan.Adelia dibantu oleh seorang pembantu.(Saya membayangkan pembantu itu ialah penulis sendiri).Kedua, persiapan sebelum pertandingan diadakan, perincian latihan menghasilkan dessert diterangkan dengan terperinci sehinggakan pembaca boleh membayangkan bagaimana Adelia dan kumpulannya berlatih.


Buku ini sesuai dibaca oleh pembaca yang suka kisah romantik dan minat dengan dunia kulinari.


Bagi yang tidak suka kisah berunsur cinta mungkin buku ini kurang sesuai.Tetapi sebenarnya kisah cinta dalam buku ini tidaklah banyak sangat.

Selesai membaca buku ini saya pun google sama ada drama adaptasi novel ini telah ada. Rupa-rupanya telahan saya tidak salah. Buku ini telah diadaptasi menjadi drama bersiri bertajuk Sejuta Rasa buat Adelia.

Saya berharap penulis akan terus menulis novel berlatarbelakangkan dunia kulinari. Seronok membaca cerita yang bersulamkan kisah makanan. Kalau tidak silap, sudah lama penulis tidak menghasilkan novel terbaru. Maaf, jika maklumat ini tidak tepat.
Ingat nak bagi 5 tapi pertengahan cerita agak perlahan dan mendatar.Saya tidak sabar hendak mengetahui ending cerita. Maka saya bagi ⭐⭐⭐⭐


Butiran buku:

Tajuk: Ulam Kasih Sambal Cinta
Penulis: Norzailina Nordin
Penerbit:Karangkraf
Tahun:2015
Hal:560
Bacaan menggunakan aplikasi Ookbee Buffet

No comments:

Post a Comment