Saturday 20 June 2020

Review Buku: Death by Honeymoon

Sumber: goodreads

Helo dan salam sejahtera buat semua.
Hari ini saya ingin kongsikan review buku bertajuk Death by Honeymoon oleh Jaden Skye. 


Sebenarnya sudah lama saya memuat turun novel ini menggunakan aplikasi playstore. Sehinggalah tadi barulah saya teringat tentang buku ini. Death by Honeymoon ini merupakan sebuah novel pendek diterbitkan pada tahun 2011. Kalau eBook hanya 133 muka surat sahaja.Jadi dapatlah saya habiskan bacaan dalam sehari sahaja.

Sinopsis:

Cindy dan Clint mengambil keputusan berbulan madu di Barbados selepas upacara pernikahan mereka. Perkahwinan mereka berdua kurang disenangi oleh keluarga Clint yang menganggap Cindy tidak sesuai untuk Clint. 

Namun mereka tetap meneruskan perkahwinan tersebut walaupun kurang direstui. Sepanjang percutian mereka berdua di Barbados dipenuhi rasa bahagia. Malangnya dua hari sebelum mereka berdua meninggalkan Barbados, Clint telah terlibat dengan kemalangan di laut.Beliau disahkan meninggal dunia akibat kemalangan tersebut. 

Cindy pulang semula ke New York, Amerika Syarikat ditemani oleh rakan sekerja mendiang Clint, Henry Greerson. Untuk beberapa ketika Cindy masih tidak dapat menerima kenyataan  bahawa Clint sudah meninggal dunia. Mujurlah kakak Cindy iaitu Anne menemaninya semenjak ketiadaan Clint. 

Apa yang menyedihkan apabila keluarga mendiang Clint menuduh Cindy menyebabkan kematian Clint.Mereka juga menuduh Cindy mengahwini Clint kerana harta dan polisi insurans.

Cindy masih tidak percaya mendiang Clint meninggal dunia akibat kemalangan. Sekeping foto yang dikirim kepada mendiang Clint sebelum mereka berkahwin mendorong Cindy untuk terus menyiasat masa lalu Clint. Kemalangan yang dialami Anne selepas menggunakan kereta milik Cindy menguatkan lagi firasat Cindy tentang kematian Clint bukan kemalangan biasa. 

Kelakuan pelik Greerson dan juga bekas rakan sejawat mendiang Clint iaitu Greg mendorong Cindy untuk terus mencari bukti di sebalik kematian mendiang Clint.Cindy mengambil keputusan untuk kembali ke Barbados untuk menyiasat tentang kematian mendiang Clint. 


Review:

Secara keseluruhan saya suka jalan cerita ini. Ada unsur saspen dan pembaca rasa ingin tahu apa yang akan berlaku seterusnya. Bahasa yang digunakan juga mudah. Buku ini sesuai untuk bahan bacaan santai.

Memandangkan novel ini novel pendek, pengakhiran cerita seperti ditamatkan dengan agak tergesa-gesa. Namun, hal ini tidak mencacatkan jalan cerita. 

Buku ini sebenarnya buku pertama dalam siri Caribbean Murder.

Buku ini saya berikan ⭐⭐⭐⭐

No comments:

Post a Comment