Friday, 14 May 2021

Review Buku:Publishable By Death

 

Sumber: Google Play Books


❤❤❤❤❤
Tajuk: Publishable By Death
Penulis: ACF Bookens
Tahun: 2019
Halaman : 246 
Ebook dibaca menggunakan aplikasi Play Books

Salam sejahtera dan bertemu kembali. Hari ini saya akan kongsikan satu review ebook yang saya baca. Seperti buku-buku terdahulu, genre pilihan masih lagi cozy mystery. Saya masih memilih untuk membaca ebook berbanding buku fizikal untuk tahun ini. 

Sinopsis:


Harvey Beckett seorang pemilik kedai buku yang bakal melancarkan pembukaan kedai bukunya di St. Marin. Malangnya pada pelancaran kedai bukunya, dia terjumpa sekujur mayat di bilik stor kedai buku miliknya. Harvey perlu membersihkan nama dan reputasi kedainya daripada khabar-khabar angin yang tidak menyenangkan. 

Review:

Saya suka buku ini kerana lokasi utamanya ialah sebuah kedai buku. Kebanyakan cozy mystery yang saya telah baca banyak berlatarbelakangkan bakeri, cafe atau kedai makan. 

Penulis berjaya menarik minat saya untuk meneruskan bacaan dengan pengetahuannya yang mendalam tentang buku-buku pelbagai genre. Harvey digambarkan sebagai seorang wanita matang yang memang mencintai buku. Memang impiannya untuk memiliki sebuah kedai buku di sebuah pekan kecil yang menjadi tumpuan pelancong semasa musim panas. 

Uniknya kedai buku inj turut menempatkan sebuah kafe kecil untuk menempatkan pengunjung yang berminat untuk membaca sambil minum di situ. Selain itu, Harvey turut meletakkan tempat khas untuk anjing kesayangannya Mayhem dan anjing - anjing pengunjung melepak di kedai tersebut. 

Keputusan Harvey untuk berpindah ke St. Marin, Maryland disokong oleh rakan karibnya Mart. Malahan Martlah yang membantunya pada awalnya dari segi kewangan. 

Plot cerita berjalan dengan lancar dan disulami sedikit imbas kembali Harvey tentang ahli keluarganya. Selain itu turut diselitkan dengan latar belakang kedai bukunya yang asalnya adalah sebuah stesen minyak. 

Misteri pembunuhan Lucia Stevensmith  di bilik stor kedai buku tersebut menjadi bualan penduduk di St. Marin. Melalui perbualan Harvey dengan beberapa orang penduduk, boleh dikatakan si mati pernah menyakiti hati beberapa orang penduduk melalui penulisan artikelnya di akhbar di St. Marin's Courier. Malahan ada mangsa tulisan pedasnya terpaksa berpindah dari St. Marin. Oleh itu, beberapa suspek yang telah dikenal pasti. 

Pembukaan kedai buku Harvey boleh dikatakan agak sukses dan beberapa aktiviti lain turut diadakan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke kedai bukunya.  Saban hari kedainya menerima pelanggan baru sehingga dia hampir terlupa tentang pembunuhan tersebut. 

Klimaks cerita ialah apabila seorang anggota polis pula dibunuh di belakang kedai Harvey. Hal ini menambahkan suspens kepada kes pembunuhan pertama yang masih belum selesai. 

Apakah pula motif pembunuhan pegawai polis itu? Dalam fikiran saya semua orang berpotensi untuk menjadi suspek kerana sejarah mereka dengan si mati tadi. Rasa berdebar-debar pada akhir cerita kerana saya masih tidak dapat meneka siapa pembunuh sebenarnya. 

Keseluruhannya saya sangat seronok membaca cerita ini. Penulis bijak menggambarkan suasana kedai buku tersebut, orang - orang yang terlibat dan semangat setiakawan dalam kalangan komuniti di St. Marin. Saya berharap agar dapat membaca buku Bookens yang lain dalam siri ini pada masa akan datang. 

Buku ini saya berikan 🌠🌠🌠🌠

No comments:

Post a Comment