Sunday, 24 November 2013

Misteri Gadis Ketiga Agatha Christie

google image
Tajuk : Third Girl
Penulis : Agatha Christie
ISBN: 9780007121106
Penerbit: Harper
Tahun: 1966
Halaman: 365





Saya mencari novel ini sudah lama dan hampir-hampir berputus harap. Akhirnya saya menemukan buku ini di MPH.  


Buku ini dihasilkan oleh Agatha Christie berlatarbelakangkan tahun 1960an. Kisahnya bermula apabila gadis ketiga dalam sebuah flat , Norma Restarick "menyerbu" kediaman Hercule Poirot semasa Poirot sedang menikmati sarapan pagi. Norma menyangka bahawa dirinya telah melakukan pembunuhan lalu meminta pertolongan Poirot. Apabila dia melihat keadaan fizikal Poirot yang telah tua, dia membatalkan niatnya untuk meminta pertolongan Poirot. 



Setelah berjumpa dengan teman lamanya Ariadne Oliver, barulah Poirot tahu dari mana Norma mengetahui tentang dirinya. Norma ialah anak tunggal seorang ahli perniagaan yang kaya iaitu Andrew Restarick dan anak tiri Mary Restarick. Norma tinggal di sebuah flat bersama-sama dua orang gadis. Pertama, Claudia Reece-Holland seorang setiausaha di pejabat Andrew Restaric. Kedua, Frances Cary seorang pelukis.

Semakin Poirot menyiasat tentang Norma, dia mendapati bahawa Norma mempunyai sejarah keluarga yang tidak menggembirakan. Ayahnya meninggalkan dia dan ibunya kerana wanita lain. Ayahnya kembali ke England bersama ibu tirinya dan cuba untuk memulihkan kembali hubungan kekeluargaan mereka.

Malagnya dalam usaha Poirot menyiasat sama ada Norma benar-benar melakukan pembunuhan atau tidak, Norma pula menghilangkan diri. Maka terpaksalah Poirot dan Ariadne Oliver melakukan penyiasatan tentang Norma melalui rakan serumahnya, bapa, ibu tiri, teman lelaki dan bekas gurunya.


Seperti kisah Agatha Christie yang biasa, kita akan diperkenalkan dengan watak-watak yang tidak disangka-sangka. Misalnya watak Sonia dan Sir Roderick yang tinggal di rumah Andrew Restarick. Saat-saat mencemaskan apabila Ariadne Oliver yang diserang semasa dia mengekori teman lelaki Norma, David Baker.

Berbalik kepada kisah Norma, pembunuhan seterusnya berlaku di flat Norma Restarick. Adakah benar dia pembunuhnya? Apakah motif pembunuhan? Siapakah yang menjadi mangsa pembunuhan kali ini? 

Pada penghujung cerita, segala persoalan terungkai satu persatu stail Agatha Christie. Saya suka endingnya yang mempunyai kejutan yag tidak diduga. Nampaknya andaian saya tentang siapa pembunuh sebenar terpesong sama sekali. 


Buku ini saya berikan 4 bintang.



No comments:

Post a Comment