Sunday 15 December 2013

10 Hari Menjelang Krismas

Tajuk : I Heart Christmas
Penulis : Lindsey Kelk
ISBN : 978-0-00-750151-9
Tahun : 2013
Penerbit : Harper
Halaman : 347
Harga : RM34.90 (SM)


Twelve days of Christmas - and Angela's going to need every one of them.



Buku ini dipilih untuk melihat suasana perayaan Krismas di tempat lain terutamanya di negara barat. Apa yang menariknya ialah watak utama iaitu Angela Clark ialah warga British yang meraikan hari Krsimas di Amerika Syarikat. Saya berpeluang melihat perbezaan sambutan Krismas di Amerika Syarikat dan di UK menurut pandangan watak Angela. Saya juga suka dengan kulit buku ini. Cantik dan sesuai dengan tajuk novel. Salah satu tarikan untuk saya membeli buku ialah kulit luar. Kulit luarnya mesti dapat terus menangkap mata bakal pembeli selain tajuk yang menarik.

Ok. Kita beralih kepada sinopsisnya. Angela digambarkan sebagai seorang editor di majalah Gloss yang mempunyai impian Krismasnya sendiri pada tahun tersebut. Tetapi dalam kesibukannya tentang Krismas impian, dia menerima beberapa berita yang mengejutkan daripada orang sekelilingya. Rakan baiknya di New York, Jenny,  mengidam hendak memiliki bayi sendiri walaupun masih single. Suami Angela, Alex, mengumumkan mereka akan berpindah ke rumah baru sebelum hari Krismas. Angela juga ditawarkan kerja baru dan pembantu yang baru! Kemudian, rakan karibnya di UK, Louisa telah muncul di pintu rumahnya bersama anak kecilnya Grace.


Dengan hari Krismas yang semakin menjelma, dapatkah Angela menangani semua kejutan itu dan menunaikan sambutan  Krismas impiannya? 

Apa yang saya suka dengan buku ini ialah penulis berjaya menyerlahkan nilai persahabatan antara Angela, Jenny dan Louisa. Memang tidak dinafikan berlaku konflik antara mereka bertiga tetapi semuanya berjaya ditangani dengan baik. Alex pula digambarkan sebagai seorang suami yang sangat baik dan memahami kesibukan kerjaya isterinya. Tetapi tidak semuanya berjalan dengan lancar. Konflik yang berlaku menjadikan jalan cerita ini lebih menarik.

Terdapat juga peristiwa lucu diselitkan dalam cerita ini. Saya suka saat Angela berperang dengan perasaannya sendiri apabila dipanggil oleh ketuanya Mary. Dia menyangka pihak syarikat tahu perbuatannya sentiasa "meminjam" pen syarikat.Terus dia mengaku kesalahannya. Saya dapat bayangkan muka Mary pada masa itu sebab perkara yang hendak disampaikan oleh Mary lebih penting daripada perbuatan "meminjam" pen. 

Pada akhir cerita, penulis juga menyertakan Angela's Guide to Christmas. Penulis membuatkan pembaca berasa teruja menghayati suasana menjelang Krismas di New York. Salah satu perkara yang disebut dalam buku ini ialah Rockefeller Center Christmas Tree. Rockefeller Centre telah memulakan tradisi menyalakan lampu pokok krismas tersebut sejak awal tahun 1930an lagi. Tradisi itu berterusan sehingga kini dan disaksikan ramai penduduk dan pengunjung New York. Di bawah ialah pokok krismas tahun 2013. 

Stephen Lovekin / Getty Images
Walaupun jalan cerita menarik, saya berasa agak kurang selesa dengan sesetengah perkataan yang digunakan oleh penulis. Tetapi itu hanyalah pandangan saya. Tak taulah kalau pembaca lain. 

Buku ini saya berikan 4 bintang. 



No comments:

Post a Comment