Monday 1 October 2018

Review buku: The Little Flower Shop by the Sea

Tajuk: The Little Flower Shop by the Sea
Penulis: Ali McNamara
ISBN:9780751558616
Penerbit: Sphere
Tahun: 2015
Halaman:432
Harga: RM17.90 (bookxcessonline)
❀❀❀❀❀❀❀❀❀
Blurb:

Poppy Carmichael, 30, certainly never intended to own a florist. But when she inherits her grandmother's beloved flower shop on the beautiful Cornish coast, Poppy has no choice but to return to the pretty harbour town of St Felix where she spent much of her childhood.

Returning to St Felix brings back sad memories for Poppy. But when she makes new friends such as local flower grower Jake, a young widowed father of two teenagers, Poppy begins to overcome her fears, and discover for herself what's so special about this little flower shop by the sea. [sumber: goodreads]
❀❀❀❀❀❀❀❀❀
Bunga Poppy.
Sumber: pixabay

Hello. Happy October everyone.

Karya Ali McNamara ini bukanlah yang pertama saya baca. Saya mengenali penulisannya lewat bukunya bertajuk Breakfast at Darcy's . Pada awalnya, saya menyangka kisah Poppy juga lebih kurang sama seperti kisah Darcy. Tetapi persamaannya hanya satu iaitu kedua-dua watak ini mewarisi perniagaan dari ahli keluarga mereka. 


Pada permulaannya cerita saya kurang berkenan dengan watak utama cerita ini iaitu Poppy. Antara sebabnya: 1. Poppy mewarisi perniagaan kedai bunga mendiang neneknya, Rose, tetapi Poppy tidak suka bunga.
2. Poppy sering berhadapan dengan salah laku undang-undang sebelum dia pergi ke St. Felix.
3. Sikapnya yang kurang mesra sangat tidak sesuai dengan pekerjaan yang bakal disandangnya yakni pemilik kedai bunga. [Saya membayangkan  seorang peniaga kedai bunga perlulah bersifat mesra pelanggan]
4. Sikapnya yang hanya memikirkan keadaan /kesedihan dirinya tanpa menyedari orang lain juga ada kesedihan mereka tetapi tidak ditunjukkan kepada umum.

Tetapi kerana Ali McNamara memang bijak menggunakan kata-kata , saya meneruskan juga pembacaan ini. Gambaran tentang deretan kedai-kedai di Harbour Street diceritakan dengan baik sekali. Seolah-olah saya yang menyusuri jalan di kawasan tersebut, dari kedai bunga The Daisy Chain ke bar Merry Mermaid sehinggalah ke kotej kediaman Poppy. 

Apa yang menariknya, setiap bab menggunakan nama bunga dan juga maksudnya. Sebenarnya, ini juga berkaitan dengan "rahsia" magis Daisy Chain.Malahan, semua nama wanita keturunan Carmichael selain Poppy berdasarkan bunga seperti Marigold, Petal, Daisy dan Violet. ❀❀❀

Sudut pandangan orang pertama iaitu Poppy digunakan dalam cerita ini. Poppy yang pada awalnya berbelah bagi sama ada hendak meneruskan legasi neneknya atau menjualkan sahaja kedai tersebut akhirnya mengambil keputusan untuk meneruskan legasi neneknya.Namun, Poppy tidak keseorangan dalam misinya itu. Ibunya telah menghantar seorang pembantu bernama Amber untuk menolong Poppy. Amber seorang penggubah bunga yang periang tetapi sebenarnya dia ada sejarah hitam yang menghantuinya. 

Dalam perjalanan mereka menghidupkan kembali kedai Daisy Chain itu, mereka turut dibantu oleh seorang pembekal bunga bernama Jake, pemilik kedai bakeri iaitu Ant dan Dec dan juga ahli komuniti St. Felix itu sendiri. Mungkin kerana mendiang nenek Poppy iaitu Rose amat dihormati dan disayangi penduduk setempat menyebabkan mereka juga mahu membantu Poppy. Mereka juga percaya bunga yang dijual di kedai Daisy Chain mempunyai magisnya tersendiri. 

Namun, ada juga watak antagonis dalam cerita ini iaitu Caroline yang mempunyai sebab peribadi berdendam dengan keluarga Poppy. Dia selalu cuba menggagalkan usaha Poppy untuk memajukan Daisy Chain. 

Penulis tidak lupa menyelitkan sedikit unsur-unsur cinta dalam cerita melalui watak Poppy dan Jake. Wujud unsur tarik tali dalam perhubungan mereka berdua apatah lagi dengan kewujudan Ash dan juga Felicity. 

Pada bab-bab akhir, penulis mendedahkan kenapa Poppy bersikap seperti yang ditunjukkan pada awal cerita. Barulah saya boleh terima sedikit  sikap Poppy yang kurang menyenangkan.

Perkara yang paling sedih dalam cerita ini ialah  pemergian Basil untuk selama-lamanya. Tanpa sedar, air mata saya turut mengalir apabila mambaca bahagian ini. Rasanya tidak sanggup untuk membaca kembali bahagian ini lagi. 

Secara keseluruhannya, buku ini memaparkan rencah yang cukup. Ceria, lucu, romantis, misteri, motivasi dan sedih. Semuanya ada. Saya juga suka buku ini kerana tiada perkataan  sumpah seranah 18sx digunakan dalam buku ini berbanding Novel English lain yang saya baca.  Maka, tidak perlulah lembaga penapisan perkataan dalam fikiran saya bekerja terlebih masa sepanjang membaca buku ini. 
Buku ini saya berikan ☆☆☆☆









No comments:

Post a Comment