Sunday, 15 December 2013

Breakfast at Darcy's

Tajuk : Breakfast at Darcy's
Penulis : Ali McNamara
ISBN : 970-0-7515-4740-5
Penerbit : Sphere
Tahun : 2011
Halaman : 437
Harga : RM37.50 (SM)









Buku ini ialah salah satu buku yang saya beli untuk hari jadi saya sendiri.Tiga sebab saya berminat nak beli buku ini. Pertama, tajuknya mengingatkan saya tentang filem Breakfast at Tiffany's. Kedua, watak utamanya bakal mewarisi sebuah pulau. Ketiga, buku ini ada offer dan dijual dengan harga RM8.00 sahaja di Popular!

Kisah bermula dengan Darcy McCall menghadiri majlis pengebumian, Molly, makcik kesayangannya. Di majlis itu, dia berjumpa dengan Niall Kearney, peguam mendiang makciknya. Niall memaklumkan bahawa Darcy bakal mewarisi sebuah pulau  kecil tidak jauh daripada Ireland dengan syarat. Syaratnya Darcy perlu menghuni pulau tersebut selama 12 bulan dan perlu menarik sejumlah  orang lain untuk tinggal bersama. 



Darcy kembali ke London untuk meneruskan kehidupan dan tugasnya sebagai wartawan di majalah Goddess dengan mempertimbangkan keputusan yang bakal diambil. Dia rasa serba salah tentang wasiat makciknya kerana dia tahu mendiang makciknya sangat sayang akan pulau tersebut. Walau bagaimanapun , satu kejadian tegang antara dia dan rakan sekerja menyebabkan dia bersetuju menunaikan hasrat makcik Molly  untuk tinggal di pulau tersebut.

Di pulau Glentara atau lebih dikenali sebagai Tara, Darcy memulakan misi membina dan membaikpulih bangunan untuk dihuni dengan bantuan Dermot. Dengan bantuan Niall dan Dermot, Darcy pun mula menemuduga bakal penghuni yang akan tinggal di pulau tersebut. Pada awalnya, Darcy tidak tahu cara menguruskan pulau tersebut termasuk komunitinya. Mujurlah ada rakan karibnya semasa di London iaitu Roxi turut datang untuk meringankan bebannya. Kemunculan Connor yang charming  turut menambahkan perisa dalam kehidupan Darcy.

Banyak kisah menarik sepanjang mereka tinggal di pulau ini , ditambah lagi dengan kemudahan dan sumber yang terhad. Buku ini turut menyelitkan tentang kisah dongeng atau cerita rakyat Irish yang diceritakan oleh Eamon. Selain itu , penulis turut menyentuh tentang holistic healing yang amat sesuai dengan Darcy yang kerap stress.

Apa yang saya rasa selepas membaca karya Ali McNamara yang kedua ini? Saya rasa puas dan seronok. Penulis dapat menceritakan tentang suasana di pulau itu dengan baik. Siap ada peta lagi di bahagian belakang supaya kita boleh membayangkan lokasi setiap tempat yang diceritakan tentang pulau itu. Saya suka semua tentang buku ini. Saya suka watak Darcy yang pada awalnya amat mementingkan fesyen (P/s: dia bekerja dengan majalah fesyen) tetapi dia berjaya menyesuaikan diri di pulau Tara akhirnya. Hobinya yang suka makan coklat.Tidak suka dengan konfrontasi tetapi berjaya menyatukan komuniti pulau tersebut. Dia sangat beruntung mempunyai rakan sebaik Roxi.

Saya juga suka dengan bahasa yang digunakan oleh penulis yang tidak menyelitkan perkataan mencarut seperti kebanyakan novel bahasa Inggeris lain. Saya suka akan kulit buku ini yang nampak manis dengan warna yang lembut tapi ceria. Rasanya, saya bakal menjadi peminat setia karya Ali McNamara selepas ini. 

Saya berikan 4 1/2 bintang untuk buku ini. 


No comments:

Post a Comment