Wednesday 1 May 2019

Kesetiaan diuji dalam Merantau ke Deli - Hamka


Tajuk: Merantau ke Deli
Penulis : HAMKA
ISBN: 9789674114763
Penerbit: PTS Publishing House
Tahun: 2019 (Cetakan ketujuh)
Halaman: 234 
Harga: RM15.00 (SM)/RM17.00 (SS)

📚📚📚📚📚

Helo... Salam Sejahtera. Berjumpa kita di bulan Mei ini. Cepatnya masa berlalu.
Berapa banyak buku yang sudah dibaca tahun ini? Bagi  bulan Mei ini, saya mulakan dengan review Merantau ke Deli karya HAMKA. 


Selama ini buku HAMKA yang saya tahu ialah Tenggelamnya Kapal Van der Wijck yang diadaptasi ke drama tv iaitu Haryati pada tahun 2003-2004. Walaupun sekali-sekala menonton drama tersebut, saya masih tidak terbuka hati untuk membaca karya HAMKA atau nama penuhnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah. Sehinggalah bulan Mac yang lalu saya terbaca di IG, review tentang buku Merantau ke Deli yang menarik minat saya untuk membaca karya beliau. 

Ternyata novel Merantau ke Deli ini sangat memukau hinggakan saya menghabiskan bacaan dalam tempoh masa sehari sahaja. 

Merantau ke Deli  mengisahkan tentang Leman dan isterinya Poniem dari awal mereka bercinta sehinggalah ke kehidupan selepas berkahwin. Kedua-dua mereka dari suku kaum yang berbeza yang mana LEman dari suku minang yang terkenal dengan Adat Perpatih dan Poniem pula dari suku kaum Jawa. Pada awalnya, Poniem menolak permintaan Leman untuk menjadi isterinya. Tetapi setelah dipujuk rayu dan Leman bersumpah akan setia menyebabkan Poniem menerima Leman sebagai suaminya. 

Kehidupan berumah tangga

Setelah berkahwin, susah senang diharungi bersama walaupun pada awalnya mereka sukar menyesuaikan diri kerana latar budaya yang berbeza. Bagi Leman, tugas suami adalah untuk mencari rezeki dan isteri hanyalah di rumah dan tidak perlu masuk campur urusan pekerjaan si suami. Berbeza dengan Poniem yang lantaran budaya hidup kaumnya percaya bahawa si isteri berhak untuk mengetahui serta membantu jika suaminya mengalami masalah dalam urusan pekerjaannya. 

Akhirnya berkat kesungguhan mereka berdua dan Poniem yang sanggup bergadai harta kekayaannya, Leman semakin maju dalam perniagaan kainnya sehingga mampu berniaga di  kedai. Semenjak mereka berdua hidup senang, mereka berdua tidak pernah bersikap sombong malah menolong sanak saudara yang sering datang memohon bantuan. Malangnya kebahagiaan yang dikecapi bertahun tidak dikurniakan cahaya mata. 

Kepulangan 

Setelah perniagaan semakin maju, Leman bercadang untuk pulang ke kampung halamannya di Padang dan Poniem mahu mengikutnya pulang. Kepulangan mereka disambut dengan meriah oleh sanak saudara Leman. Budi pekerti dan keramahan Poniem menarik hati sanak saudara Leman. 

Malangnya, masih ada suara-suara kecil yang mepersoalkan Poniem yang bukan sama kaum dengan mereka. Hal ini dianggap satu perkara yang besar kerana adat minang yang mementingkan kaum keturunan dari pihak perempuan. Pihak lelaki hanya dianggap sebagai pencari harta sahaja dan perlu memberikan kekayaan serta kesenangan kepada pihak perempuan dan kaum keluarganya. 

Berkahwin dua

Maka, kesetiaan mereka berdua bakal diuji apabila kaum keluarga Leman menyarankan agar dia berkahwin seorang lagi dengan perempuan yang sama sukunya. Konflik bermula apabila Leman lemah dan termakan saranan kaum keluarganya. Dia mula lupa akan janjinya kepada Poniem untuk terus setia sehingga akhir hayatnya. Dia lupa segala pengorbanan Poniem dalam membantunya memajukan perniagaannya satu ketika dulu.  
Di matanya, hanya terbayang-bayang wajah Mariatun yang bakal dijodohkan dengannya. Di fikirannya, berlegar-legar hasutan sanak saudaranya tentang pentingnya mengahwini orang kampungnya sendiri. 

Leman:
Saya berpendapat si suami iatu Leman seharusnya lebih tegas dan berpendirian teguh dalam  dua perkara: 
1. Dia mudah terpedaya dengan desakan dan hasutan kaum keluarganya untuk berkahwin baru semata-mata Poniem itu orang luar. Dia sudah lupa bahawa dia yang bersungguh-sungguh mahu berkahwin dengan Poniem walaupun Poniem enggan menerimanya sebagai suami. 

2. Dia gagal menjadi ketua keluarga yang baik yang mana dia lebih menuruti /mempercayai isteri mudanya iaitu Mariatun berbanding Poniem yang sudah lama menjadi isterinya. Malah dia gagal untuk berlaku adil kepada  kedua-dua isterinya apabila mereka bertiga hidup sebumbung.

Poniem:
Saya amat mengagumi perwatakan Poniem. Seorang wanita yang setia dan sentiasa berusaha menyenangkan suaminya walaupun setelah Leman berkahwin lagi. Walaupun Leman seolah-olah lupa akan pengorbanannya, dia tetap bersabar dan terus setia bersama Leman. 
Malah dia cuba bersikap terbuka dengan menerima Mariatun sebagai madunya walaupun hatinya terluka. Poniem juga digambarkan sebagai wanita yang rajin dan padai mencari rezeki serta bersikap berdikari. Pada akhir cerita, dia juga digambarkan sebagai seorang wanita yang berpekerti mulia dan pemaaf walaupun Leman bertindak kejam terhadapnya. 

Pengajaran:
Walaupun novel ini ditulis pada tahun 1930an, saya berpendapat kisah ini masih lagi relevan dari segi kehidupan pasangan suami isteri. Apabila berlaku ketidakadilan dalam perkahwinan yang mana hanya satu pihak yang sanggup berkorban, akan wujudlah masalah dan akhirnya membawa kepada peceraian. 
Persefahaman dan sikap bertolak ansur amat perlu dalam melayari bahtera perkahwinan apatah lagi yang mengamalkan poligami. Selain itu, ketua keluarga iaitu si suami perlulah bijak dalam menangani karenah para isteri agar tidak wujud rasa tersisih atau tidak adil dalam kalangan isteri. 


Kesimpulannya, jalan cerita novel ini menarik yang mana plotnya tidak berjela-jela. 
Pada awal cerita, penulis menggambarkan tentang kehidupan pekerja yang mencari rezeki di kawasan perkebunan Deli. Ada yang ditipu dengan janji manis yang mengatakan pekerjaan di situ senang dan tidak memerlukan tenaga berat. 

Melalui novel ini juga , pembaca akan didedahkan dengan adat minangkabau yang mengutamakan kaum perempuan. Sedikit sebanyak pembaca akan memahami budaya orang minangkabau pada masa itu. 

Novel ini boleh ditambahbaik dari segi glosarinya. Ada juga perkataan yang kurang difahami dan tidak dimasukkan dalam glosari. Terdapat juga ayat yang kurang saya fahami mungkin kerana penggunaan bahasa lama dan bahasa Indonesia. Secara tidak langsung agak mengganggu kelancaran pembacaan.

Banyak petikan kata-kata yang saya suka dalam novel ini. 

"...tetapi kerana kau pendapat dia dengan mudah. Saya takut kalau-kalau engkau lepaskan pula dia dengan mudah." [Hal. 26] 


"Demikianlah baru tingkatan perusahaan bangsa kita. Mereka pandai berniaga, tahu menjual dan membeli tetapi tidak tahu dan tidak pandai bagaimana cara berdagang memakai buku." [Hal. 128] 



"Kerana siapa pun perempuan, bagaimana hinanya , buruk dan baiknya adalah kepandaian lelaki memegang, lain tidak. Kalau sekiranya engkau pandai mengasuh, engkau akan beroleh isteri yang setia, walaupun dia bukan orang "awak"." [Hal. 28] 



""Apabila manusia telah lemah mengambil timbangan untuk kepentingan dirinya sendiri kali yang pertama, kelemahan itu akan berturut-turutlah sampai kepada akhirnya."[Hal. 148] 

Selesai membaca novel ini, saya berhasrat untuk membaca novel karya HAMKA yang lain.Rugi rasanya tidak membaca tulisan beliau sebelum ini. 
Saya berikan buku ini ⭐⭐⭐⭐

Anda pula bagaimana? 
Apakah buku HAMKA kegemaran? 
❀❀❀❀❀❀❀

Sedikit latar belakang HAMKA. 
Nama penuh beliau ialah Haji Abdul Malik Karim Amrullah. Anak kelahiran Maninjau, Sumatera Barat .(17 Februari 1908- 24 Julai 1981) Beliau merupakan penulis Indonesia yang terkenal, seorang ulama dan ahli politik. Beliau juga pernah menjadi wartawan beberapa buah akhbar. Selain menghasilkan karya ilmiah Islam, beliau juga menghasilkan novel dan cerpen. 


No comments:

Post a Comment