Saturday 3 October 2020

Review Buku: Tuan Direktur (Hamka)



Tajuk:Tuan Direktur
Penulis: Hamka
Penerbit: PTS Publishing House
Tahun: Cetakan kelapan 2019
Harga:RM13.00(SM)/RM14.00

Sekarang dia sudah tahu wang itu boleh dijadikan titian untuk menyeberangi batang air kekurangan, dengan wang segala maksud boleh berhasil.

Sinopsis:

Buku karya Hamka ini mengisahkan seorang peniaga yang kaya raya dan menggelar dirinya Tuan Direktur. 

Tuan Direktur ini bernama Jazuli. Dia bersifat angkuh dan menganggap semua benda termasuk manusia dapat dibeli dengan wang. Apatah lagi apabila dia dihasut oleh pembantunya,  Kadri, dan beberapa orang rakan yang berkepentingan. Pelbagai cara digunakan olehnya untuk mengejar kekayaaan. 

Demi wang dia juga mula percaya dengan ilmu tahyul. Niatnya untuk meluaskan cabang perniagaannya terhalang apabila pemilik tanah iaitu Pak Yasin enggan menjual tanah kepada Tuan Direktur.

Oleh kerana hasutan Kadri dia telah memecat pekerjanya yang jujur iaitu Fauzi. Namun Fauzi tidak mudah melatah malah meneruskan kehidupan dengan melakukan pekerjaan  yang lain. Fauzi semakin rapat dengan Pak Yasin dan sentiasa menerima nasihat dan pandangan Pak Yasin. 

Tuan Direktur pula terus hanyut dengan ketamakannya dan malah cuba menganiayai Pak Yasin.Sehinggalah suatu hari dia berpeluang bertemu muka dengan Pak Yasin. Namun keinsafan yang sekejap kerana pengaruh orang orang sekelilingnya lebih kuat sehingga memudaratkan Tuan Direktur.

Review:

Terdapat penggunaan bahasa Belanda diselitkan dalam buku ini memandangkan latar tempat ialah di Indonesia. Namun masih dapat difahami kerana glosari disertakan pada halaman belakang buku.

Buku ini sesuai dibaca sekurang-kurangnya sekali seumur hidup kerana ideanya yang masih relevan dengan masa kini. Sifat manusia yang tamak haloba tidak pernah berubah dari dulu sehingga sekarang

Buku ini penuh dengan mesej yang berguna terutama tentang kehidupan manusia yang terlalu mengejar kekayaan sehingga melupakan tentang kebajikan manusia terutama para pekerja.

Selain itu, turut diselitkan tentang perlunya sifat merendah diri terutama dalam kalangan golongan pemimpin dan yang kaya.

Penulis mengingatkan para pembaca bahawa wang bukanlah segalanya tetapi sifat insani manusia iaitu tidak menindas orang lain lebih penting.

Beberapa kutipan kata-kata menarik dalam buku ini seperti:

"Satu keajaiban bahawa dalam kemajuan zaman moden, masih banyak manusia yang dipengaruhi ketahyulan." (Hal. 47)

"Sahabat pada waktu susah, itulah yang perlu,dan itulah pula yang sekarang telah lari dari dekatmu..." (Hal. 90)

"...Jadi siapa yang kuat perhubungannya dengan Tuhan, dialah yang tinggi meskipun rendah menurut pandangan orang banyak."(Hal 98)

Buku ini saya berikan ⭐⭐⭐⭐

No comments:

Post a Comment