Monday 18 June 2018

Mini Reviews: Cikgu Kelas Sebelah + Cikgu Kampung

Mini reviews hari ini berkisar tentang kehidupan suka duka guru di sekolah rendah.Tidak dapat dinafikan banyak cabaran yang perlu dilalui oleh seorang guru. Mereka perlu memenuhi kehendak banyak pihak. Baik dari pihak pengurusan sekolah, masyarakat, ibu bapa, para pelajar, malahan pihak kementerian juga. 

Kita sering mendengar tanggapan negatif tentang guru di media massa. Seolah-olah pekerjaan guru ini pekerjaan yang paling rendah martabatnya. Bagi mereka yang bukan guru ataupun guru , saya ingin berkongsi quote Malorie Blackman di bawah: 
"Reading is an exercise in empathy; an exercise in walking in someone else’s shoes for a while. 
—Malorie Blackman"

Maka ambillah peluang untuk membaca buku-buku ini agar kita bisa berempati dan memahami pengalaman / perasaan orang lain juga. 



Tajuk: Cikgu Kelas Sebelah
Penulis : Fadli Salleh
Penerbit: Komrad Buku
ISBN:9789672062073
Tahun: Cetakan Keempat 2017
Halaman: 184
Harga: RM20.00 (SM)/RM23.00 (SS)

✿✿✿✿✿✿✿
Sinopsis belakang buku:
Orang kata, jadi cikgu zaman sekarang tidak seronok seperti dulu lagi. Terlalu banyak beban, terlampau banyak tekanan. Kalau kau cikgu, pandai-pandailah mencari keseronokan sendiri. Agar semangat tidak hilang, agar cinta terhadap profesion terus membara.Aku mahu mengajar dengan gembira dan mahu murid belajar dengan seronok. Jadi ini yang sering aku lakukan. Aku suka bermain watak seorang kawan kepada murid. Watak guru di luar daripada kebiasaan. Watak yang paling kurang, menyeronokkan aku dan memberi semangat untuk terus bertahan di arena yang makin mencabar.Saat kau bersama murid, sebenarnya masih sama seperti dulu-dulu. Kau dan murid. Di dalam kelas, kaulah Raja. Kalau kau raja yang bijak, kau tadbirlah negeri kecil kau dengan bijaksana. Persetankan segala bebanan yang menunggu. Saat melangkah masuk kelas, ingatlah. Kau Raja!
Jom join aku jadi guru di luar daripada kebiasaan. Jom jadi 'Raja' di dalam 'Negeri Kecil' yang penuh dengan kegembiraan. [sumber: goodreads]
🎕🎕🎕🎕🎕🎕🎕
Naskhah Cikgu Kelas Sebelah yang ada di tangan saya ini merupakan cetakan keempat. Wah kagumnya.Patutlah apabila saya cari pada tahun lepas, tidak ditemukan. 
Membaca buku ini menyebabkan saya tersengih-sengih seorang diri. Ada sebanyak 101 kisah disajikan dalam buku ini.

Banyak kisah mencuit hati dikongsikan oleh penulis yang rasanya pernah kita alami sendiri kita di bangku sekolah. 
Antaranya kisah kawan yang tidak mahu berkawan dengan pelajar tersebut jika tidak memberinya duit. Begitu juga kisah pelajar yang tidak mahu kalah dalam pertandingan lumba lari. Pening kepala cikgu nak buat pertandingan semula untuk bagi peluang dia menang. Tidak lupa juga kisah bertajuk kucing. Pandainya cikgu buat set induksi yang ada unsur kecindan. 

Namun, bukan semua kisah mencuit hati, ada juga yang menimbulkan rasa sebak. Misalnya kisah Anis dan ibunya yang setia menghantar dan mengambilnya dari sekolah dengan berjalan kaki. Pengajarannya, walaupun sesebuah keluarga itu kurang dari segi materialnya, tetapi mereka kaya dengan kasih sayang dan budi pekerti.

Kisah pelajar yang culas membayar hutang kepada kawan-kawannya dan setelah disiasat, ayahnya telah meninggal dunia dan ibunya telah menghilangkan diri. Tidak dinafikan, di sekolah kita bakal menemukan kisah suka duka pelajar yang kadang kala kita tidak pernah terfikir pun betapa besarnya masalah mereka di rumah yang akhirnya terbawa-bawa ke sekolah. Moralnya, penting untuk kita menyiasat dulu sesuatu perkara sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Saya berharap penulis akan terus berkarya dan memberi inpirasi kepada para pembaca lewat penulisannya kelak. Buku ini saya beri ✩✩✩✩
☙☙☙☙☙☙☙☙☙☙☙☙☙❦❦❦❦❦❦❦❦❦❦❦❦❦❦❧❧❧❧❧❧❧❧❧❧❧❧❧
sumber: Google Image 
"Sabar akan bisa membimbingmu ke daerah kekuatan yang melorongkan dirimu pada akhir sebuah cerita yang indah"

Tajuk: Cikgu Kampung
Penulis : Shahidan Shuib
Penerbit: Mustread Sdn Bhd
ISBN:9789672038375
Tahun: 2017
Halaman: 172
Harga: RM21.00 (SM)/RM24.00 (SS)

✿✿✿✿✿✿✿


Dari belakang buku: 
"Tulisan yang ditulis dengan cermat tentang kehidupan seorang guru. Catatan pengalaman bersama murid yang menarik dan memberi inspirasi kepada pembaca. Kisah sebegini perlu dibaca oleh semua golongan masyarakat. Kisah yang selama ini hanya guru sejati yang megalaminya, kini dikongsikan untuk semua. Dan benarlah seperti kata penulis, seorang guru banyak belajar daripada muridnya sendiri," - Cikgu Fadli Salleh, penulis buku Cikgu Kelas Sebelah.

" Buku ini mungkin tidak setinggi maqam La Tahzan, namun insyaAllah ia boleh merawat hati kita yang kesepian. Sepi, daripada sebarang perjuangan...Buku ini mugkin tidak setebal dan sepadat Laskar Pelangi Andrea Hirata. Namun, jika ia dibaca saat hati terluka, insya-Allah, muncul satu kekuatan baru... Buku ini mungkin tidak semewah Chicken Soup for Soul, yang bersiaran beri motivasi ke suluruh dunia, namun bagi sebuah dunia kecil murid-murid di sekolah dan perkampungan hulu, buku inilah segalanya." [sumber: goodreads]
🎕🎕🎕🎕🎕🎕🎕

Kalau anda membaca buku Cikgu Kelas Sebelah , anda asyik tersengih. Berbeza pula dengan buku Cikgu Kampung ini. Tolong sediakan tisu jika anda mudah tersentuh membaca kisah-kisah sedih. Mungkin ini dipengaruhi juga oleh penggunaan gaya bahasa yang berbeza daripada buku sebelumnya. 

Benarlah, kita boleh belajar banyak perkara daripada murid-murid kita sendiri. Janganlah mengandaikan apabila kita guru, kita tahu semua perkara. Kadang-kadang murid-murid juga boleh mengajar kita erti kesyukuran, kesabaran, tidak mudah berputus asa dan sebagainya. 

Saya akan kongsikan satu kisah sahaja daripada 47 buah kisah yang dipaparkan. 

Kisah si Ayub... 
Seorang pelajar yang lahir dari keluarga yang kurang berkemampuan.Penulis selaku guru kelasnya sentiasa menasihatinya apatah lagi dia bakal menduduki UPSR. Paling mengejutkan, Ayub berjaya mendapat keputusan yang cemerlang apabila keputusan UPSR diumumkan. Kejayaan Ayub ternyata hasil usaha semua pihak iaitu dirinya, keluarganya dan juga guru-gurunya.

Akhir sekali, izinkan saya berkongsi dua quote daripada buku ini untuk direnungkan: 
"Jika hari ini kita kehilangan erti sabar seorang guru dek kenakalan muridnya, jika hari ini, kita kehilangan semangat seorang guru dek kemalasan muridnya, ingatlah, masih ada murid yang ingin berjaya. Justeru, teruskan usaha dan ikhlaskan diri untuk memajukan anak bangsa." [Hal. 56] 

"Apakah kita seorang guru sang murabbi?Kerana, "sebaik-baik guru ialah guru yang mendekatkan diri anak muridnya dengan Tuhan mereka, kerana itulah guru murabbi." [Hal. 167] 

Buku ini saya berikan ✩✩✩✩


p/s Pengalaman guru di sekolah menengah pula anda boleh baca kisahnya dalam review buku  bertajuk T for Teacher.




No comments:

Post a Comment