Wednesday 1 May 2019

Risalah #Malaysia Membaca


Tajuk : Risalah #Malaysia Membaca
Penulis: Dr. Maszlee Malik, Nurul Izzah Anwar, Hasrizal Abdul Jamil, Hilal Asyraf, Syed Azharul Asriq, Hanapi Jamaludin, Zamri Mohamad, Zahrah Yunos
ISBN: 9789671579299
Penerbit: Jejak Tarbiah Publications
Tahun: 2019
Halaman:127
Harga: RM25.00
📚📚📚📚📚
Sinopsis Belakang Buku:

Tidak akan wujud negara maju sekiranya tiada generasi muda yang
bersahsiah mulia, berfikiran matang dan mempunyai ilmu
pengetahuan yang tinggi. Ciri-ciri ini tidak lain tidak bukan, hanya lahir
daripada tabiat membaca. [sumber: Goodreads]

Sebelum ini, Jejak Tarbiah telah menerbitkan buku tentang pencinta buku bertajuk Kertas-kertas yang Merubah Fikir. Tahun ini , sekali lagi penerbit menerbitkan genre yang sama tetapi dengan pendekatan sedikit berbeza. 

Buku ini merupakan kompilasi penulisan lapan orang pencinta buku dari pelbagai latar belakang. Mereka menceritakan perjalanan mereka sebagai pembaca buku sejak kecil sehingga kini. Berikut ialah catatan penulisan oleh beberapa orang penulis itu:


Dr. Maszlee Malik:
  • Apakah 10 buku kegemaran Menteri Pendidikan kita? Semuanya dikongsikan oleh beliau dalam buku ini. 
  • Dr. Maszlee juga menggalakkan kita berkongsi kepada orang lain tentang buku yang dibaca.
  • Beliau membaca buku-buku HAMKA sejak di bangku sekolah. 

"Cara paling mudah untuk memperoleh ilmu ialah dengan membaca."[Hal. 2]  Dr. Maszlee Malik. 


Nurul Izzah Anwar:

  • Beliau mengasah kemahiran berbahasa Inggeris dengan membaca karya Jane Austen sambil merujuk kamus.
  • Semua pihak yang mempunyai kesedaran terhadap membaca perlu bergerak seiring masa dan zaman untuk melahirkan lebih ramai pembaca-pembaca baharu. 
  • Bagi menjadi lebih seimbang, anak muda perlu melibatkan diri dalam aktiviti lapangan selain daripada membaca buku.

"Bagi  saya, budaya membaca ini perlu bermula dari rumah. Ibu bapalah yang memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran anak-anak. "[Hal. 15]  Nurul Izzah Anwar

Hasrizal Jamil: 

  • Tiga faktor mepengaruhi minatnya dalam membaca iaitu ibu, ayah dan zaman itu belum ada internet. [Yang ini saya amat setuju kerana saya juga membesar pada zaman internet belum ada dan hiburan lain juga kurang]
  • Sikapnya yang sentiasa membawa buku walaupun ke mana sahaja dia pergi.
  • Keghairahan membaca dan membeli buku ketika masih menuntut di Jordan menyebabkan mereka sekawan menyewa lori pick-up untuk membawa buku-buku yang telah dibeli di Amman.

"Saat-saat indah bersama bersama keluarga dan bersama buku boleh membentuk keperibadian seseorang"[Hal. 37]  Hasrizal Jamil

Kesimpulannya, buku ini memberikan perspektif baharu tentang membaca. Seringkali saya sendiri membaca kerana sekadar mengisi masa luang dan juga atas tuntutan akademik atau kerja. Apabila masa luang itu diisi oleh hobi lain, atau tuntutan akademik atau kerja telah ditunaikan, maka aktiviti membaca itu diabaikan. Sedangkan membaca itu satu keperluan dan bukannya kehendak. 

Kata orang don't judge the book by its cover. Hal ini benar kerana secara peribadi bagi saya warna kulit depan buku ini kurang menarik perhatian. Saya tidak tahu golongan mana yang disasarkan sebagai bakal pembeli buku ini. Tetapi percayalah, isi kandungan dalam buku ini lebih besar maknanya berbanding dengan rupa kulit bukunya. 

Buku ini sesuai dibaca oleh semua golongan terutama pencinta buku. Juga sesuai untuk yang sudah mula lelah [reading slump] dan tiada hala tuju dalam pembacaan buku. Semoga anda mendapat kembali semangat dan kecintaan untuk terus membaca selepas membaca buku ini.

Buku ini saya berikan ⭐⭐⭐⭐


No comments:

Post a Comment