Sunday 15 September 2019

Review buku: Biru Ungu Cinta


Masih adakah cinta bila kasih sayang kehilangan makna?
💗


Tajuk: Biru Ungu Cinta
Penulis: Noor Suraya
ISBN: 97838934909
Penerbit: Creative Enterprise
Tahun:2003
Harga:RM17.90
Halaman: 339
❦❦❦❦❦❦❦❦❦

Dari belakang buku:
Biru itu warna cintamu, Fattah. Warna yang terpancar indah dari penjuru matamu. Dalam diam aku dapat rasakan cinta yang bersinar, cinta yang tidak pernah pudar. Hangat dan menyala. Tulus dan bening.... Sedangkan ungu itu warna dukaku. yang membeku dalam hatiku, yang mengalir dalam jantungku dengan luka yang paling dalam, berdenyut nyilu... menjalar pilu... menjulang lesu.
💜💜💜💜💜💜💜💜💜
Ya, saya tahu masih banyak novel yang dibeli semasa Pesta Buku Antarabangsa KL 2019 yang belum dibaca.Tetapi apabila saya terjumpa novel Biru Ungu Cinta di kedai buku Pasar Seni, saya tidak mahu melepaskan peluang untuk membelinya. Masa ternampak novel ini rasa mendapat durian runtuh! Bukan mudah untuk mendapatkan novel yang sudah lama dicetak ini walaupun ia pernah dicetak semula di bawah penerbitan yang berbeza. Tak sangka kedai tu masih menjual novel ini yang diterbitkan pada tahun 2003. Walaupun novel ini masih dibalut rapi tetapi di bahagian tepinya sudah ada tompok kekuning-kuningan.


Jika ada buku yang saya akan ulang baca lagi dan lagi Biru Ungu Cinta adalah salah satu pilihan saya. Pada awalnya saya membaca novel ini untuk  mengisi masa sebelum tidur. Semakin saya  membaca,semakin sukar untuk melepaskan buku ini. Akhirnya saya berjaya menghabiskan bacaan buku ini dalam tempoh tiga jam .

Membaca bab -bab awal novel ini saya mengandaikan watak utamanya adalah Azah. Apabila membaca nama Fattah di belakang buku, ingatkan Fattah ialah kisah silam Azah. Rupa-rupanya sangkaan saya meleset. 

Novel ini mengisahkan Seera anak gadis Azah yang bekerja sebagai wartawan.Seera mempunyai abang kembar yang tua dua minit darinya yang bernama Affan. Seera mempunyai tiga orang adik. Bilangan ahli keluarga yang agak besar dan diterangkan agak terperinci mengingatkan saya tentang novel Kekasih Waktu.

Fattah teman sepermainannya akhirnya menjadi  kekasihnya apabila mereka berdua meningkat dewasa. Ketuanya di pejabat iaitu Kamal turut  menaruh hati kepadanya tetapi Seera menolak cinta Kamal. Namun
 siapa dapat menduga perjalanan hidup bisa berubah kerana satu peristiwa. Akhirnya Seera menjadi isteri Kamal.Lelaki yang tidak pernah diizin untuk memiliki   hatinya.  

Apa yang menarik tentang novel ini?
Semua. Dari sampul depan, gaya bahasa,sehingga  jalan cerita. Dalam banyak novel Noor Suraya inilah yang paling best. Pengakhiran cerita juga diolah dengan baik sehingga emosi semasa membacanya rasa turun naik.

Watak kegemaran dalam novel?
Seera. Watak ini digambarkan sebagai anak yang baik yang sanggup berkorban untuk keluarganya. Dia juga seorang yang cekap dan berpendirian dalam tugasnya. Dia juga sanggup memutuskan hubungan dengan Fattah kerana kekurangannya sebagai wanita.

Watak bukan kegemaran dalam novel?
Waheeda. Dia bukan watak antagonis tetapi pada pandangan saya wataknya yang kurang bijak membuat pertimbangan akhirnya menyusahkan keluarganya. Mungkin ada yang tak setuju tetapi itu hanyalah sekadar pandangan.

Adakah saya berpuas hati dengan ending novel ini?
Secara peribadi saya sangat suka kisah yang berakhir dengan kegembiraan. Namun, untuk Biru Ungu Cinta saya amat berpuas hati kerana bagi saya itu ending yang terbaik.
Walaupun kadang-kadang kita mengharapkan berlaku keajaiban, kita juga perlu belajar menerima ketentuan-Nya.

Membaca novel ini dari awal sampai akhir, kotak tisu sentiasa di sisi. Keesokan harinya, mesti kawan-kawan pelik kenapa mata sembab.😢

Selesai membaca novel ini saya sempat melayari laman web penulis yang bercerita tentang novel ini. Menurut penulis dalam blognya, sayangnya pada Seera itu seperti sayang akan anak buahnya sendiri.Dalam blognya juga penulis menceritakan tentang maksud di sebalik tajuk novel.Barulah saya tahu kerelevanan tajuk novel dengan kisah cinta Seera dan Fattah.

Syabas kepada penulis yang berjaya menyentuh jiwa pembaca dengan kisah yang sederhana. Novel Biru Ungu Cinta saya berikan ⭐⭐⭐⭐⭐




No comments:

Post a Comment