Tajuk: Jejon di Jepun 3
Penulis: Jonsuraya
ISBN: 9789671539828
Penerbit: Maple Comics!
Tahun: April 2018
Halaman: 120
Harga: RM20.00
☕☕☕☕☕☕☕☕☕
Dari belakang buku:
Jejon dah setahun di JAPAN!
Setelah setahun di Kyoto, Jejon sudah mula selesa dengan rutin hariannya dan bersedia untuk kehidupan untuk 3 tahun akan datang. Namun, apabila dia mengetahui 'peperiksaan kemasukan' ke universitinya akan diadakan dalam Bahasa Jepun, Jejon terpaksa berdepan kebarangkalian kehidupannya di Kyoto boleh menjadi lebih singkat daripada biasa.
Adakah Jejon terpaksa pulang akibat gagal peperiksaannya, atau adakah dia akan berdepan masalah lain pula? Sambil menikmati keindahan alam semulajadi Kyoto dan perayaan warna-warni di Jepun, Jejon meneruskan pengembaraannya di negara matahari terbit ini![sumber:maplecomics]
☕☕☕☕☕☕☕☕☕
Bertemu kembali lewat pengembaraan Jejon dalam komik ketiga Jejon di Jepun. Komik ini antara komik yang dinanti-nantikan kemunculannya oleh puteri saya.
Sedar tak sedar, sudah setahun Jejon di negara matahari terbit, Kyoto khasnya. Kisahnya bermula apabila Jejon menerima surat memaklumkan bahawa peperiksaan kemasukannya ke peringkat PhD akan dibuat dalam bahasa Jepun. Namun, Jejon sempat pulang sekejap ke Malaysia walaupun agak stress memikirkan peperiksaan tersebut.
Kali ini, lebih banyak aktiviti luar yang dilakukan Jejon dan rakan-rakannya. Antaranya ekspedisi berbasikal Tasik Biwa bersama Ben. Ekspedisi yang agak jauh tersebut memerlukan mereka berdua bermalam di hutan dan juga di tapak perkhemahan.
Selain itu, Jejon berpeluang ke Ohara bersama temannya dari Indonesia, Salma pada musim kegemarannya iaitu musim luruh.
Paling mendebarkan apabila Jejon berbasikal seorang diri dalam kegelapan semasa pergi ke festival Kurama no Hi Matsuri. Mujurlah dia tiba di destinasi dalam selamat. Terima kasih kepada Cindy!
Jejon juga menceritakan pengalamannya semasa musim sejuk di Jepun dan persediaan yang perlu ada semasa musim sejuk.
Akhir sekali, pengalamannya menghadiri ujian kemasukan PhD yang mana dia perlu menduduki ujian bertulis dan membuat pembentangan tentang tajuk kajiannya.
☙☙☙☙☙❦❦❦❦❦❧❧❧❧❧
Seronoknya membaca pengalaman orang yang belajar di negara asing. Sekurang-kurangnya kita dapat belajar tentang budaya asing walaupun sekadar membaca komik sahaja. Selain itu, melalui komik ini, dapat mengobarkan semangat untuk melanjutkan pelajaran khasnya di Jepun.
Bagi yang belum membaca kisah Jejon di Jepun dan Jejon di Jepun 2, anda masih boleh membaca Jejon di Jepun 3 secara berasingan. Tapi kalau baca yang pertama dan kedua lagi baik. Melalui komik terdahulu , pembaca boleh tahu bagaimana Jejon berjaya melanjutkan pelajaran di Jepun.
Pada pendapat saya, membaca ketiga-tiga komik Jejon karya Jonsuraya memang tidak pernah menghampakan. Lukisannya kemas dan menarik. Jalan cerita juga jelas , menghiburkan dan lancar. Pada halaman akhir turut diselitkan proses penghasilan lukisan komik ini dan juga foto-foto penulis komik ini bersama teman-temannya.
Komik ini saya berikan ✰✰✰✰
No comments:
Post a Comment