Saturday 13 December 2014

Review Buku : Kekasih Waktu - Noor Suraya


Tajuk : Kekasih Waktu 
Penulis : Noor Suraya 
ISBN:  9789670757001
Penerbit: Adiwarna
Tahun:September 2014 (Cetakan kedua) 
Halaman: 418
Harga : RM25.00 (SM)/RM28.00 (SS)

Berdoalah duhai hati.Doa adalah tempat beristirahat bagi mereka yang miskin, tempat berteduh bagi yang gundah, dan kelegaan bagi yang terbakar api hasrat.

Buku karya Noor Suraya sentiasa saya nanti-nantikan. Saat membaca buku  tulisannya memang susah untuk diletakkan selagi belum selesai dibaca. Saya amat tertarik dengan kulit luar buku ini dan juga tajuknya Kekasih Waktu. Kenapa menggunakan wajah seorang gadis dihiasi bunga-bunga indah di kepalanya laksana seorang puteri? Noor Suraya ada jawapannya dalam halaman 88-89:

Poskad itu ilustrasi wajah Dian sewaktu berumur lapan tahun.(Hal. 88)

Dan Zaynn yang terpaksa melayan saudara-saudara perempuannya bermain itu menghadiahkan tiara daripada bunga-bunga segar dari kebun uminya untuk Dian. (Hal. 89)
           

Saya tertanya-tanya apa makna kekasih waktu dalam buku ini. Soalan ini terjawab lewat poskad yang dikirimkan oeh Zaynn kepada Dian:

Tahukah kamu , 
sekiranya kita bersahabat seiring dengan berlalunya waktu , 
kita panggil teman kita itu `Kekasih Waktu'...
dan kamu adalah 'Kekasih Waktu' aku! (Hal. 90)


Kiriman poskad itu juga merupakan titik mula perhubungan Zaynn dan Dian. Zaynn seorang pelajar jurusan perubatan di Srinagar berkawan sejak kecil dengan Dian.Dia selalu mengirimkan poskad yang penuh ayat-ayat berbunga kepada Dian yang melanjutkan pelajaran di Perancis. Dian juga menyimpan perasaan yang sama terhadap Zaynn. Malangnya ibu Dian tidak menyukai Zaynn menyebabkan mereka terpaksa merahsiakan perhubungan mereka.

Zaynn mempunyai tiga orang saudara tiri iaitu Nafisya, Najaah, dan Nuha. Najaah yang umurnya setahun lebih muda daripada Zaynn paling rapat dengan Zaynn. Zetti pula adik kembar Zaynn yang sudah berumah tangga. Membaca salasilah keluarga Zaynn menyebabkan saya terpaksa membaca bahagian tersebut berulangkali. Zaynn bersikap sangat melindungi adik tirinya terutamanya Najaah yang belum berkahwin.Buktinya dalam halaman 45: 

"Ramai-ramai tadi siapa?"
"Yang mana?"
"Yang asyik babai-babai dekat Najaah tak berhenti-henti tu la. Lelaki-lelaki di kaki lima hotel."

Walaupun Najaah diminati ramai lelaki tetapi hatinya hanya dimiliki oleh seseorang jejaka yang sudah menjadi milik orang. 

Noor Suraya juga menyelitkan tentang sejarah pembinaan Taj Mahal yang amat dikenali di seluruh dunia. Selain itu, pengalaman Zaynn mengunjungi Terusan Wan Mat Saman turut diselitkan sedikit-sebanyak membolehkan para pembaca tahu akan keadaan terusan itu sekarang. 

Zaynn juga telah berkhidmat sebagai sukarelawan di Peshawar. Di situ, dia bertemu dengan Din. Sesiapa yang membaca novel Jaja dan Din pasti kenal watak ini. Zaynn telah membawa Din pulang ke Malaysia dan kembali kepada Jaja.

Kemunculan watak Sofea dalam kisah ini menimbulkan kegeraman. Pada masa itulah berlaku konflik antara Dr Farhana (ibu Zaynn) dan Imran (Ayah tiri Zaynn). Zaynn adik-beradik pun dalam dilema untuk menyokong pihak yang mana. 

Salah satu babak  menyedihkan pada saya ialah apabila Najaah menulis surat kepada Dian. Bayangkanlah jika kita yang menerima surat sedemikian setelah berlaku peristiwa yang tak diduga.

Secara keseluruhannya, membaca buku hasil nukilan Noor Suraya memang tidak pernah mengecewakan. Beliau memang terkenal sebagai penulis yang menulis menggunakan bahasa indah. 

Saya berikan buku ini 5 bintang!

2 comments:

  1. Salam Marbellla,
    Terima kasih untuk rensensi yang manis :)

    - kaksu -

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kak Su, saya berharap akan ada sambungan kisah Dian dalam novel yang akan datang.

      Delete