Thursday 26 November 2015

Novel Setengah Potong Pizza




Tajuk :  Setengah Potong Pizza
Penulis :  Maslina Ngadiman
ISBN:978-967-401-113-0
Penerbit: PTS One Sdn Bhd
Tahun: 2012
Halaman: 311
Harga : RM19.00 (SM)/ RM21.00 (SS)


Novel ini adalah kesinambungan novel Semanis Tart Ceri yang saya belum berkesempatan untuk membacanya. Sebab itu, apabila membaca novel ini saya tertanya-tanya lelaki tatabahasa yang disebut-sebut oleh Hakim Aiman. Bagaimana pula Iman Selina boleh mengenali Alim Qaidar?

Novel ini berkisar tentang pekerja-pekerja di Kafe Ceri dan orang-orang di sekeliling mereka. Mari berkenalan dengan pekerja-pekerja Kafe Ceri :

  • Iman Selina - tukang masak merangkap pengurus kafe.(Saya bayangkan orangnya comel seperti heroin Feast of the Gods)
  • Norli Sara-pekerja yang bercita-cita tinggi
  • Rehana- petugas di bahagian kaunter dan menaruh syak wasangka terhadap Raja Rostam
  • Surya-bekas tunang Hakim Aiman dan pelayan kafe
  • Raja Rostam-pekerja baharu kafe dan digelar pemuda berwajah sopan
  • Hakim Aiman-pemilik Kafe Ceri yang persis model iklan syampu
Pada awal bab, kita akan ditemukan dengan watak seorang kanak-kanak yang sering membeli sepotong piza. Piza itu akan dipotong dua sebelum dimasukkan ke dalam dua bungkusan berasingan. Pada mulanya saya kurang faham kenapa novel ini diberikan tajuk sebegini. Apa signifikannya piza itu kepada Iman Selina atau Hakim Aiman? 

Membaca novel ini menyebabkan saya tersengih seorang diri. Penulis berjaya menyelitkan humor dalam tulisannya. Antara peristiwa lucu ialah ketika Hamza, si samseng amatur, jatuh ke longkang dan perlu berikrar tidak akan berbuat jahat lagi sebelum dia dibantu oleh Norli Sara. 

Selain itu , terdapat konflik kawan baik Iman iaitu Manis Hamisah yang diminta oleh ibunya untuk mencari bakal suami yang beragama. Adakah dia akan berjaya menemui lelaki impian ibunya? 

Kehadiran Raja Rostam sebagai pekerja baharu turut menimbulkan tanda tanya. Kenapa dia asyik berSMS semasa waktu bekerja? Sehingga dia digelar Raja SMS oleh Rehana yang sentiasa memerhatikan gerak-gerinya.

Saya juga kagum dengan sikap Norli Sara yang bercita-cita tinggi untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Setiap waktu terluang, dia akan mencuri-curi membaca nota pelajarannya.
Ungkapan menarik minat saya diucapkan oleh Khairul kepada Julia (hal. 272) :

"Bermimpilah yang tinggi, kejarlah cita-cita sementara masih ada tenaga dan usia ..."

Separuh usia saya sering berhadapan dengan golongan remaja yang pelbagai ragam.Ada yang berfikiran seperti Julia yang hanya melihat kepada masa depan yang singkat. Mungkin selepas ini saya boleh pinjam ungkapan ini untuk dikongsikan dengan anak didik saya.

Iman Selina seorang gadis yang polos sehingga dia tidak sedar langsung bahawa Hakim Aiman menyukainya. Malahan dia hampir-hampir berhenti kerja kerana tidak tahan dengan sikap majikannya itu.Tetapi, Hakim Aiman juga perlu bersaing dengan lelaki tatabahasa dan juga lelaki pilihan mak long Iman untuk memenangi hati Iman Selina.

Satu perkara yang saya rasa yang kurang diketengahkan oleh penulis ialah tentang kafe itu sendiri. Apabila membaca novel berlatarbelakangkan kafe, saya suka sekiranya diceritakan tentang hiasan dalaman kafe tersebut . Pada pendapat saya, hal ini penting supaya para pembaca boleh membayangkan diri mereka di dalam kafe dan cerita tersebut. Minta maaf jika cerita tentang hiasan dalaman mungkin telah diterangkan dalam novel sebelumnya. Selain itu, menu yang ada juga kurang ditonjolkan. Kalau tak silap hanya nugget, donut dan piza saja yang disebut-sebut. Apa agaknya specialty Kafe Ceri? Berbeza dengan novel Sepetang di Kafe Biblioholic yang saya baca, kesedapan teh dijelaskan dengan terperinci menyebabkan saya terus mencari teh kamomil.

Kembali kepada tajuk novel, pada akhir cerita barulah penulis mendedahkan sedikit kaitannya dengan watak Iman Salina. Apapun, keseluruhan cerita menyeronokkan untuk bacaan santai.Kulit depanya juga ceria dan menarik berbling-bling. Saya beri 4 bintang untuk novel ini.

p/s : Novel ini ada kesinambungannya iaitu Kek Ceri Pengantin. Saya harap dapat menemukan novel tersebut.

No comments:

Post a Comment