Monday 7 December 2015

Cik Zorro Lambretta Jambu


Tajuk :  Cik Zorro Lambretta Jambu
Penulis :  E-man Dhani 
ISBN:978-967-401-037-9
Penerbit: PTS One Sdn Bhd
Tahun: 2012 (Cetakan Kedua)
Halaman: 152
Harga : RM9.90 (SM)/ RM10.90 (SS)

Watak utama seorang gadis lepasan SPM bernama Azura tetapi lebih dikenali sebagai Zorro. Cerita ini ditulis dalam bentuk catatan diari. Zorro sangat teruja kerana dia telah merdeka daripada peperiksaan SPM. Misinya sekarang ialah untuk mendapatkan lesen memandu kelas B. 

Cik Zorro memasang angan-angan jika berjaya mendapatkan lesen memandu kelas B, dia akan memandu motosikal Harley Davidson abangnya. Dalam novel ini, penulis menceritakan langkah-langkah untuk mendapatkan lesen. Secara tak langsung, para pembaca mendapat ilmu jika berminat hendak mendapatkan lesen memandu. 

Setelah berjaya, Cik Zorro pun mencari pekerjaan bersama rakan-rakannya Ana dan Dahlia di sebuah gedung beli-belah. Ketiga-tiga mereka berjaya mendapat pekerjaan di gedung tersebut tetapi kedai yang berbeza. Cik Zorro menceritakan pengalaman temu duga dia dan rakan-rakannya. Beliau terpaksa menolak troli yang penuh dengan buku dan tayar troli itu telah dilonggarkan tanpa pengetahuannya.

Walau bagaimanapun, angan-angan cik Zorro untuk memandu Harley Davidson abangnya tidak kesampaian. Sebelum itu, terlupa pula cik Zorro ni anak bongsu dalam keluarganya. Dia mempunyai empat orang abang yang suka menyakatnya. Ayahnya membelikan skuter Lambretta untuk kegunaannya ke tempat kerja. Apa yang melucukan, cik Zorro jatuh pengsan sebaik sahaja  melihat skuter antik itu! 

Cik Zorro juga menceritakan pengalamannya sepanjang bekerja di kedai buku. Ada yang manis, suspens dan menyedihkan. 

Bagi saya jalan cerita lancar dan sesuai untuk bacaan santai. Namun dalam santai, ada juga ilmu baharu yang disampaikan oleh penulis. Antaranya  pengalaman belajar memandu dan mencari pekerjaan bagi pelajar-pelajar yang sedang menunggu keutusan SPM.

Tahniah kepada penulis. Saya suka dengan kulit buku yang nampak manis dengan rona merah jambu. Saya berikan buku ini 3 1/2 bintang. 

No comments:

Post a Comment