Sunday 15 February 2015

REVIEW BUKU: COCKTAILS FOR THREE


Secrets, strangers, a splash of scandal ...

Tajuk :  Cocktails For Three
Penulis :  Madeleine Wickham
ISBN: 9780552779203 
Penerbit:  Black Swan
Tahun: 2000
Halaman: 301
Harga : RM32.90 (Offer: RM8.00)


Madeleine Wickham adalah nama sebenar Sophie Kinsella yang terkenal dengan siri buku Shopaholicnya.Sebenarnya saya belum lagi berkesempatan untuk membaca mana-mana  novel Madeleine Wickham @ Sophie Kinsella. Mari kita berkenalan dengan tiga watak utama dalam buku ini: 

1. Roxanne
  • membuat free lance di majalah Londoner. Dia digambarkan sebagai wanita yang glamor, sering melancong ke merata dunia kerana tugasannya. Dia mempunyai kekasih   digelar Mr Married with Kids yang dirahsiakan  identitinya.
2. Maggie
  • editor di majalah Londoner. Dia sedang sarat mengandung dan bakal bersara untuk menjaga bayinya di rumahnya di luar kota. 
3. Candice
  • wartawan di majalah Londoner . Dia digambarkan sebagai seorang yang polos. Dia sentiasa berasa bersalah atas kesilapan yang dilakukan mendiang ayahnya terhadap orang lain. Sikapnya ini bakal menjerat dirinya.

Sudah menjadi kebiasaan mereka bertiga untuk berjumpa sebulan sekali di Manhattan Bar. Malam itu merupakan malam terakhir mereka bertiga berjumpa sebelum Maggie cuti bersalin . Pada malam itu juga, Candice terserempak dengan Heather, rakan sekolahnya dahulu. 

Candice  berasakan perbuatan ayahnya punca kehidupan Heather huru-hara. Lalu Candice mengambil keputusan untuk membantu Heather bekerja di majalah Londoner. Malah Candice sanggup memberikan salinan artikelnya untuk dijadikan rujukan Heather apabila memohon pekerjaan di Londoner.

Apabila Heather diterima bekerja, Candice dengan baik hatinya mengajak Heather tinggal bersamanya. Candice menyangka bahawa Heather benar-benar dapat menerimanya sebagai kawan.

Manakala Maggie pula mengalami masalah dengan kehidupan barunya sebagai seorang ibu. Dia yang selalu sempurna sebagai editor mahu sempurna sebagai ibu. Malangnya, sikapnya yang terlalu mengejar kesempurnaan menyebabkan dia berasa tertekan. Hal ini mempengaruhi hubungannya dengan suami dan ibu mertuanya.

Roxanne pula masih ternanti-nanti kekasihnya untuk menceraikan isterinya. Kekasihnya berjanji akan mengahwininya setelah anak bongsunya mencecah usia remaja. walau bagaimanapun, kekasihnya meninggal akibat kanser. Kematian kekasihnya membongkar identiti sebenar kekasihnya.

Dipendekkan cerita, Candice yang polos tidak menyedari dirinya dipergunakan oleh Heather sehinggalah dia dituduh membuat tuntutan kewangan palsu. Roxanne dan Maggie yang sebelumnya pernah bertemu dengan Heather cuba menyedarkan Candice tentang kepura-puraan Heather. Tetapi Candice tidak percaya malah dia memarahi mereka berdua yang dianggap cemburu dengan persahabatannya dengan Heather. Rasanya bahagian ini yang sangat geram. Geram kerana Candice yang tidak nampak tipu muslihat Heather.

Akhirnya Roxanne dan Maggie pergi ke pejabat Londoner untuk membantu membersihkan nama Candice.Kemudian hubungan mereka bertiga baik semula. Maggie dan Roxanne juga telah menemui jalan penyelesaian berkenaan konflik hidup masing-masing.

Pada pendapat saya, jalan cerita ini biasa sahaja iaitu sesuai bacaan santai.Cuma saya tertanya-tanya bagaimana dengan penyelesaian cerita ini. Rasa tidak sabar hendak mengetahui apakah nasib Heather setelah rahsianya terbongkar. 

Ya, saya berminat untuk membaca buku-buku seterusnya daripada penulis ini. Buku ini saya berikan 4 bintang. 

No comments:

Post a Comment