Friday 2 December 2016

KOMIK LA FLORA LAWATAN KELILINGI DUNIA

Maaf foto kurang jelas. 😅

"Menambahkan ilmu pengetahuan ialah hiburan yang terbaik."

Tajuk : Komik Bersiri La Flora Lawatan Kelilingi Dunia
Penterjemah :  Peng Jeck Mor 
Penerbit: Penerbitan Pelangi Sdn Bhd
Tahun: 2015
 Harga : RM10.90 (SM)/ RM11.50 (SS)

Apa agaknya adik-adik buat sempena cuti ini? Menonton tv? Bermain game? Apa kata luangkan juga masa untuk membaca buku. Kalau bosan membaca buku cerita, baca komik pun boleh. Syarikat Pelangi menerbitkan siri komik yang berilmu dalam bentuk menghiburkan. 

Komik Bersiri La Flora Lawatan Kelilingi Dunia ini mengisahkan pengalaman penuntut Akademi La Flora dan Akademi Putera Noah dalam membuat tugasan berkaitan negara pilihan mereka. Komik berwarna ini memaparkan watak-watak comel yang menarik hati. Komik ini sesuai sebagai bahan bacaan santai kanak-kanak di samping mendedahkan mereka kepada tempat menarik dan budaya masyarakat sesebuah negara. Dalam siri ini, ada tujuh buah negara yang dilawati yang mana terdapat 50 cerita tentang kehebatan setiap negara:



Korea Selatan 
Kim Giyul , pelajar Akademi Putera Noah, perlu menyiapkan tugasan "Korea Selatan yang Hebat" semasa cuti. Sepanjang mebuat tugasan tersebut, banyak peristiwa lucu dialaminya bersama kawan-kawannya , Kim Wu Neul dan Tiwa Pupicha. 
Antara kehebatan Korea Selatan yang ditonjolkan dalam siri ini ialah Hari Pepero, Hanbok iaitu pakaian tradisional Korea Selatan, dan Jjajangmyeon: Mi Hitam.

England
Rosary Grey, pelajar Akademi La Flora, perlu menyiapkan tugasan tentang kehebatan Englad. Dia dibantu oleh Lionel Augustus seorang budak lelaki yang bersifat gila-gila dan sentiasa menunggang kuda.
Antara kehebatan England dalam siri ini ialah Masakan Enak- Fish and Chips yang popular, Budaya Beratur, dan Budaya Minum Teh.

Malaysia
Siti Alani juga perlu menyiapkan tugasan yang sama berkaitan kehebatan Malaysia. Sepanjang membuat tugasan tersebut, dia ditemani oleh Tiwa Pupicha (rakannya dari Thailand) dan Horus Badru (pelajar Akademi Putera Noah berasal dari Mesir). Sikap Tiwa yang lucu menjadikan pengembaraan ini bertambah meriah.
Antara kehebatan Malaysia iaitu Menara Berkembar KLCC, Laksa, dan Taman Negara Gunung Mulu. Malangnya nasi lemak tidak termasuk dalam senarai kehebatan Malaysia.😞

India
Misi Indira Shayas menyiapkan tugasan yang sama dibantu oleh Kritsana Raman dan Yang Mei Hua. Mereka turut ditemani oleh seekor gajah yang comel bernama Pallathi.Beberapa kehebatan India yang ditonjolkan dalam komik ini ialah Monumen Cinta Taj Mahal, Hoki Sukan Kebangsaan India, dan Berlian Koh-i-Noor.

Amerika Syarikat
Peminat fanatik komik aksi, Christoper Richard, telah menjalankan tugasan tentang kehebatan Amerika Syarikat. Sepanjang membuat tugasan tersebut, dia telah ditemani oleh pelajar Akademi La Flora yang comel  bernama Fujiwara Yuri. 
Beberapa perkara menarik yang ada di Amerika Syarikat ialah Walt Disney, Patung Liberty hadiah rakyat Perancis , dan Muzik Country. 

Thailand
Si gadis Thailand yang nakal dan kasar,Tiwa Pupicha, juga perlu menyiapkan tugasan yang sama dibantu oleh Adi.Perangai Adi yang gila-gila menambahkan keceriaan dalam membuat tugasan Thailand yang hebat. Antara kehebatan negara Thailand yang ditonjolkan ialah sukan Muay Thai, Somtam : kerabu betik yang enak, dan pengangkutan unik: Tuk Tuk. 

Perancis
Nasissa Lefebia juga berusaha keras untuk menyiapkan tugasan " Perancis Paling Hebat" dibantu oleh Giva Boulenc. Sikap Giva yang suka membodek menyebabkan Nasissa berasa jengkel. Antara perkara menarik dari Perancis yang ditonjolkan ialah Croissant, Makan Malam ala Perancis, dan Perayaan Lemon.

Kesimpulannya, kanak-kanak dapat mengetahui serba sedikit budaya negara-negara tersebut walaupun  tidak berpeluang melawat ke sana.Harapan saya agar penerbit akan menerbitkan juga siri keliling dunia ke negara-negara lain khususnya negara Eropah pada masa akan datang. Kalau tidak puas membaca siri ini, teruskan membaca siri La Flora Rali Khazanah Dunia pula.😊

P/s: Siri La Flora Lawatan Kelilingi Dunia ke China boleh baca di sini.

No comments:

Post a Comment