Sunday 15 March 2015

Sepetang di Kafe Biblioholic



Hujan, apakah kau dapat membaca rahsia hatiku?

Tajuk :  Sepetang di Kafe Biblioholic
Penulis : Ainunl Muaiyanah Sulaiman
ISBN: 978-967-0201-77-1  
Penerbit:  Adiwarna 
Tahun: Jun 2013 
Halaman:  406
Harga :  RM20.00 (SM)/RM23.00 (SS)

Sumber: klik imej

Adakah anda peminat teh atau kopi? 

Kamellia (Mel) menerima tetamu yang tidak pernah ditemuinya sejak lahir. Kedatangan ayahnya ke rumahnya  sudah terlewat kerana ibunya telah meninggal sejak lima tahun yang lalu. Namun, asuhan ibunya yang baik dan tidak pernah memburuk-burukkan ayahnya menyebabkan Kamellia dapat menerima kehadiran ayahnya, Encik Kamal. Rasa bersalah Encik Kamal terhadap Kamellia dan arwah ibunya menyebabkan dia menghadiahkan sebuah kafe untuk Kamellia.

Kamellia bersetuju dengan syarat kafe tersebut berkonsepkan kafe buku. Sebenarnya kafe berkonsep sedemikian ialah impian arwah ibunya. Tetapi Mel merahsiakan hal tersebut dari ayahnya. Mel juga enggan namanya dimasukkan sebagai pemegang saham kafe tersebut kerana khuatir dikatakan mahu merampas harta ayahnya. 

Mel dipertemukan dengan Puan Mastura, ibu tirinya dan dua orang adik tirinya iaitu Hadi dan Zara. Malangnya hanya Zara yang sudi menerimanya dalam keluarga mereka. Rekaan dalaman kafe Mel iaitu Kafe Biblioholic direka oleh sahabat baiknya iaitu Warith. Ayahnya pula telah mendapatkan perkhidmatan Redza sebagai pengurus kafe tersebut. 

Pertemuan pertama Mel dan Redza dalam keadaan yang tidak diduga yang mana Redza menyangka Mel seorang pencuri.Sejak itu, hubungan mereka berdua dingin walaupun Mel tidak tahu puncanya. 

Mel kemudiannya telah diarahkan oleh ketua editornya, En. Umair, untuk menyunting sebuah buku meja kopi berkaitan dengan Ipoh.  Hubungannya mula rapat dengan ketua yang tegas tetapi seorang yang baik apabila di luar pejabat. En. Umair seorang peminat espreso. Dia memberitahu Mel dia meminum espreso untuk menghukum dirinya atas dosanya. Oh ya, Mel sebenarnya peminat teh tetapi semenjak kehilangan ibunya dia mula beralih kepada kopi. Redza juga seorang peminat teh. Arwah ibu Mel pula suka dengan teh earl grey.

Redza dan En. Umair sama-sama menaruh hati terhadap Mel. Siapakah pilihan Mel? 

Buku ini banyak memaparkan kenangan Mel bersama arwah ibunya mencuba hidangan di kafe-kafe baru. Pada waktu petang ibunya sering menghidangkan teh untuk dinikmati bersama. Penulis juga turut memaparkan tentang beberapa jenis teh dan kopi yang agak asing bagi saya seperti affogato.Khasiat teh yang diceritakan turut menyebabkan saya tidak sabar untuk membeli teh kamomil dan menghirupnya.

Saya tertarik dengan kata-kata Redza dalam halaman 182:

"Sastera dan membaca itu seperti pintu kehidupan. Kita membaca manusia dan melihat diri kita dalam bahan bacaan yang kita baca..."

Selain itu, penulis turut menceritakan tentang kedai buku Shakespeare and Co. di Paris yang lebih terkenal sebagai kota cinta.

Sumber:klik imej


Saat yang sayu ialah apabila Mel mendedahkan rahsia tentang impian ibunya untuk membuka kafe baca kepada ayahnya. 

Membaca buku ini terasa santai, sambil menghirup teh atau kopi dengan kek kegemaran anda. Penulis membahagikan bab-bab cerita dari saat pembukaan kafenya dengan musim dingin, musim bunga, musim panas dan diakhiri dengan musim luruh. Rasa berat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada watak-watak ini pada akhir cerita.

sumber :klik imej 

Buku ini saya berikan 4 bintang!

No comments:

Post a Comment