Thursday 10 December 2015

Dating Game by Danielle Steel


Tajuk : Dating Game 
Penulis :  Danielle Steel
ISBN:9780552149907
Penerbit: Corgi
Tahun: 2008 (Corgi Edition Reissued)
Halaman:464
Harga : RM32.90


Paris Armstrong seorang suri rumah yang memiliki segalanya. Perkahwinan yang bahagia, dua orang anak yang berjaya, kawasan kejiranan yang indah. Namun, kebahagiaan yang dikecapi selama 24 tahun  berakhir apabila suaminya menuntut cerai. Suaminya akan berkahwin dengan kekasih hatinya yang berusia 31 tahun.
Paris mengambil keputusan untuk berpindah ke San Francisco bagi mengubat hatinya yang terluka.Dia mengambil keputusan untuk berada jauh dari tempat yang pernah meragut kebahagian hidupnya. Apabila berada di tempat baharu, timbul persoalan untuk mencari pekerjaan. Akhirnya, dia diterima menjadi pembantu seorang pengusaha kedai bunga merangkap perancang majlis, Bixby Mason. Bixby, seorang majikan yang kreatif dan mempunyai karakter yang menarik. Siapa sangka lelaki aneh itu akhirnya menjadi sahabat baik Paris. 

Selepas perceraiannya, Paris tidak keseorangan.Meg, anak gadisnya sentiasa memberi sokongan kepadanya. Sepanjang berada di San Francisco, Meg sering menggalakkan Paris untuk keluar bertemu janji bagi mengisi rasa sunyinya. Paris telah berkenalan dengan beberapa orang lelaki yang mempunyai ragam yang berbeza. Ada yang terlalu tua, terlalu muda, terlalu baik, atau pelik. Paris membuat kesimpulan bahawa hidup berpasangan tidak ditakdirkan untuknya. Sehinggalah dia menemui kebahagiaan apabila Hope muncul dalam hidupnya. 

Buku ini membawa mesej yang bermakna terutamanya kepada mereka yang berasa hidup mereka tidak bererti lagi selepas sesuatu peristiwa menimpa mereka. Pada penghujung cerita, Bix memberikan hadiah kepada Paris bersama sekeping kad bertulis :

"The best is yet to come" 

Saya percaya semua orang mempunyai harapan sedemikian. Kita sering mengharap dan berdoa agar akan ada perkara terbaik berlaku dalam hidup kita. Apatah lagi apabila banyak kesedihan, kelukaan, dan kepahitan yang kita lalui dalam hidup ini. 

Tidak banyak buku karya Danielle Steel yang pernah saya baca. Kebanyakan buku Danielle Steel akan berakhir dengan kesedihan.  Pada pendapat saya, inilah buku terbaik beliau yang pernah dibaca kerana pengakhirannya berbeza. Saya berikan 4 bintang.




No comments:

Post a Comment