Thursday 22 December 2016

REVIEW: MAHADEWI OLEH NOOR SURAYA

Tajuk:Mahadewi
Penulis: Noor Suraya
ISBN:9789670851464
Penerbit: Jemari Seni
Tahun: Ogos 2016 
Halaman:420
Harga : RM28.00 (SM)/ RM31.00 (SS)

Saat melihat novel  bertajuk Mahadewi, rasa sangat teruja. Membelek helaian novel ini sudah amat menggembirakan. 
Saya suka dengan kualiti kertas digunakan. Kulit hadapannya juga menggunakan warna lembut, dari kejauhan seperti donut. Rupa-rupanya lukisan pinggan-pinggan seramik. Melihat salah satu kegemaran  penulis ialah meneliti corak pada pinggan seramik, hati saya berdetik. Mungkin ini salah satu faktor lukisan ini dipilih sebagai cover.  Akhirnya saya bakal bertemu dengan Nuha-Alang dan Dahlia-Wadi semula. ❤ Buku ini mengandungi dua cerita: 
1. Surat Putih untuk Alang
2. Panggil Saya Mawar

1. Surat Putih untuk Alang merupakan sambungan dari Surat Ungu untuk Nuha (2007).Surat Ungu untuk Nuha adalah karya Noor Suraya yang saya baca.Sejak itu saya terus jatuh cinta dengan penulisan Noor Suraya. 

Surat Putih untuk Alang mengisahkan kehidupan Nuha-Alang selepas empat tahun mereka mendirikan rumah tangga. Kebahagiaan hidup berumahtangga mereka berdua masih belum dikurniakan cahaya mata. Nuha telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajarannya di KL tetapi Alang agak keberatan melepaskan Nuha. Apatah lagi Nuha bakal belajar di KL selama 4 tahun. Akhirnya dalam berat hati Alang memberi keizinan. Sebenarnya Alang takut sekiranya Nuha digoda oleh rakan-rakan sekuliahnya di  sana nanti. Sebelum Nuha mendaftar diri, Alang mengajak Nuha berbulan madu di Hobart. 

Sepanjang Nuha melanjutkan pelajaran banyak peristiwa pahit manis berlaku. Antaranya Nuha dan Alang telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki. Anak angkat mereka, Ku Chik  yang kini dibela oleh nenek sebelah bapa Ku Chik. Walau bagaimanapun kasih Nuha dan Alang terhadap Ku Chik tidak pernah berubah. 

Membaca Surat Putih untuk Alang memang tidak kering air mata terutamanya di pertengahan dan penghujung cerita, Entah kenapa hati ni sedih mengenangkan si Ku Chik orang timun yang terpinggir daripada ibu kandung sendiri. 

Satu lagi adegan yang tidak sampai hati nak baca ialah kisah Suci dan Suria. Maaf, saya memang mudah tersentuh apabila membaca kisah malang makhluk Tuhan yang kita tidak tahu isi hatinya. Saya rasa sedih sangat memikirkan nasib Suci dan Suria walaupun Alang berfikiran positif. Nak tahu siapa Suci dan Suria, kenalah baca novel ni.

2. Panggil Saya Mawar pula merupakan sambungan dari kisah Panggil Aku Dahlia (2008). Dahlia dan Wadi masih lagi mengusahakan Rumah Teh Timor di tanah tinggi. Mereka telah dikurniakan seorang puteri bernama Mawar berumur 18 bulan. Mereka berdua bakal menimang cahaya mata kedua yang dipanggil Seroja sejak dari kandungan. Mawar digambarkan sebagai seorang anak yang belum petah bercakap tetapi sangat suka menyanyi. Gelagat comelnya yang selalu tersilap memangggil ibunya "ubi" sungguh melucukan. 

Dahlia mengambil keputusan untuk menutup perniagaan Rumah Teh Timor walaupun itu satu keputusan yang agak berat. Keinginannya untuk menumpukan lebih perhatian kepada keluarganya sendiri menyebabkan dia berbuat demikian. Tamabahan pula, adiknya Rahman telah pergi ke Canberra untuk menimba pengalaman bekerja di sana.

Sonya Brunt, bekas ibu tiri Wadi masih lagi cuba mengganggu rumahtangga Dahlia-Wadi. Dia mahu agar Wadi bertanggungjawab ke atas Zaarif. Anak yang didakwanya   hasil hubungannya dengan Wadi.
Cerita ini berjalan agak perlahan sehingga pemergian Wadi dan ibunya menunaikan haji. Dahlia tinggal  di tanah tinggi ditemani oleh Mawar, Ruhil, Pak Sayuti dan Mak Bibi.Pada suatu hari, Mawar didapati hilang dari rumah.Apakah yang berlaku sebenarnya? Bagaimana Dahlia yang sedang sarat mengandung menangani dugaan ini tanpa Wadi di sisi? 

Membaca karya Noor Suraya kita akan terbuai dengan bahasanya yang indah dan diselitkan unsur kecindan. Suasana tempat digambarkan dengan cantik sekali. Antara petikan ayat-ayat yang saya suka dalam novel ini: 


"Alang minta maaf na. Jom, kita makan cendol bawah ketapang dekat simpang tu" 
Pujuk Alang.
Nuha diam. 
"Alang minta maaf, boleh?" ulangnya. 
"Nuha sibuk, nak jemur bantal kekabu semua tu." Balas Nuha sambil berjalan ke bilik.
"Tak payah jemur, tengok hari nak hujan dah!" balas sang suami.
"Jadi tak payah la makan cendol kan dah nak hujan." Nuha pulangkan paku buah keras.
"Amboiiiii..."
Nuha sudah ketawa dalam hati.
[Hal. 43]
********************************************
Sekejap kemudian, Alang menelefon dan  Nuha bercakap dengan berbisik-bisik.
"Kenapa? Ada orang minyak atas bas ke???"
[Hal. 135]
********************************************
Rembulan telah bergeser ke ufuk barat dan cahayanya bersinar sedemikian indah. 
[Hal. 239]
*********************************************
"Lima orang sahaja padahal... Lia, tetapi seperti aku ada lima buah batalion askar, arahan tidak sama bagi setiap lapis umur.
[Hal. 344]
********************************************
Saya tertanya-tanya kenapa novel ini diberi tajuk Mahadewi. Setelah membaca kdua-dua cerita, saya membuat kesimpulan bahawa Nuha dan Dahlia memang layak dianggap sebagai mahadewi pasangan masing-masing. Pengorbanan dan kekuatan menangani cabaran hidup kedua-dua watak wanita ini memang patut dicontohi. 

Bagi pembaca yang merindukan kerenah Nuha-Alang dan Dahlia-Wadi, buku ini hadiah untuk anda. Oh ya, Mahadewi ini ialah hadiah daripada Noor Suraya kepada pembacanya bersempena 'Raikan JS 10 Tahun'. [2006-2016]. Alangkah bagusnya jika Mahadewi ini turut memuatkan kisah Jaja dan Din juga kan? Apa-apa pun tahniah kepada penulis dan Selamat Ulang Tahun ke-10 kepada Jemari Seni.Saya bagi buku ini 4 bintang. 



No comments:

Post a Comment