Friday 20 October 2017

Review Minum Kopi di Boigeet House (Suratman Markasan)


Tajuk:  Kumpulan Cerpen Kembara Minum Kopi di Boigeet House 
Penulis : Suratman Markasan 
Penerbit: ITBM
ISBN: 9789674605339
Tahun:  2017
Halaman: 188
💮💮💮dari sinopsis kulit novel:💮💮💮

Minum Kopi Di Boigeet House ialah sebuah kumpulan cerpen kembara yang berilham daripada mutiara fikir dan kecaknaan penulis berpengalaman, Suratman Markasan. Himpunan 15 buah cerpen yang diadun sempurna ini mengajak khalayak pembaca meneroka wilayah fikir yang dalam dan jauh di samping sama-sama merasakan denyut latar yang pelbagai melangkaui diaspora Melayu dan seterusnya seantero dunia.
Setiap catatan yang berhasil melalui pengamatan, penyeluruhan, serta pemerhatian penulis terhadap alam dan manusia yang melingkarinya - dijanakan oleh kreativiti dan imaginasi - menjadikan cerpen-cerpen dalam kumpulan ini berupaya untuk meninggalkan kesan taakulan yang mendalam kepada pembaca. Keseluruhan cerpen termuat dalam kumpulan cerpen ini menenun gambaran golongan yang tertindas, terzalimi, atau teraniaya dan terus-menerus menerima musibah. Kisah-kisah ini diandaikan oleh pengarang sendiri sebagai manik-manik kehidupan yang dirangkaikan menjadi kalung kata sebuah kehidupan. [Goodreads]
❀❀❀❀❀❀❀

Buku ini memaparkan 15 cerpen kembara ke beberapa buah negara Eropah dan negara Asia. Berikut ialah lima cerpen pilihan saya:

1. Pelarian
Menceritakan tentang pengalaman aku (Abas) semasa lawatan ke Berlin Barat. Dia bertemu dengan dua orang pemuda yang berjaya  melepaskan diri daripada Jerman Timur. Dalam cerpen ini diselitkan cabaran yang kedua-dua pemuda tersebut harungi semasa mahu keluar dari Jerman Timur. Dalam cerpen ini memaparkan sikap setiakawan antara kedua-dua pemuda itu yang membawa kepada satu pengakhiran yang tidak diduga.

2. Benderanya Tidak Naik
Saya tertarik dengan cerpen ini yang mengisahkan keprihatinan jiran tetangga seorang nenek tua berusia lingkungan 80-an  (Grandma) yang tinggal sendirian. Pada waktu siang, dia dijaga oleh seorang wanita berusia 50-an bernama cik Janny. Setiap hari, bendera Amerika akan dinaikkan untuk memaklumkan kepada jiran tetangga nenek itu bahawa dia dalam keadaan baik-baik sahaja. Lalu terjadi beberapa insiden apabila jiran tetangganya mendapati bendera tersebut tidak dinaikkan. Saya pun agak suspen membaca, kenapa bendera tersebut tidak dinaikkan? Sehinggalah untuk kesekian kalinya, apabila bendera tidak dinaikkan kerana satu kejadian.

3. Mencari Kamoe San  Bertemu Abudora
Saya tereksan dengan cerpen ini kerana kisah watak aku yang dipertemukan semula dengan seorang bekas tentera Jepun yang pernah dikenalinya. Kamoe san iaitu bekas tentera Jepun itu telah melayan "aku" dan rakan-rakannya yang masih kanak-kanak semasa di Singapura dengan baik. Berpuluh tahun kemudian mereka berdua berjumpa di saat Kamoe san memeluk Islam.

4. Si Tukang Jahit
Penulis dan rakannya menempah jubah dari pendatang tanpa izin di Mekah. Malangnya, mereka berdua tidak dapat jubah yang ditempah kerana tukang jahit itu mungkin telah ditangkap. Dalam cerpen, penulis menceritakan tentang wujudnya pendatang tanpa izin dari Indonesia dan selatan Thailand di Mekah. Mereka menjalankan perniagaan kecil-kecilan demi kelangsungan hidup di sana.

5. Dari Liverpool Mencari Kota Raja
Seorang tua bernama Azam yang telah lama merantau ke Liverpool dan sudah pun beranak -pinak di sana. Dia mengambil keputusan untuk kembali ke Singapura untuk melihat kampung halamannya yang telah berpuluh-puluh tahun ditinggalkan. Setibanya di sana, dia sangat terkejut dengan perubahan fizikal yang berlaku. Ironinya, walaupun dia telah lama meninggalkan tanahairnya, dia masih boleh bertutur dalam bahasa melayu dengan baik. Berbeza pula dengan dua pemuda yang ditemuinya yang banyak menggunakan bahasa melayu dan bahasa inggeris.

💮💮💮💮💮💮💮

Antara petikan cerpen yang saya suka:
"Saya tidak mahu jadi pemimpin!"
"Kalau begitu mahu jadi orang yang dipimpin?"
"Saya bantah!"
"Lalu mahu jadi apa?" 
"Mahu jadi orang bebas,mahu hidup bebas seperti Rita!" [hal. 20-21]

Kulit hadapan buku ini kelihatan kemas dan simple. Jika anda dapat perhatikan, ada satu set cawan dan piring bertindih dengan lukisan bangunan tersebut. Saya suka kumpulan cerpen ini kerana banyak persoalan yang dikemukakan membuat kita perlu berfikir. Misalnya perlunya mempertahankan budaya kita walaupun negara kita semakin menuju ke arah negara maju. Selain itu perlunya hidup bertoleransi sesama manusia walaupun fahaman yang berbeza. Walau pun pengalaman yang dikongsikan menarik, tetapi terdapat penggunaan beberapa istilah yang kurang difahami.
Buku ini saya beri ☆☆☆

No comments:

Post a Comment