Sunday 8 July 2018

Pertembungan personaliti dalam novel SPLIT (NURUL AIN SYUHADA)


Tajuk: SPLIT
Penulis : Nurul Ain Syuhada
Penerbit : Karya Seni 
ISBN: 9789674690571
Tahun : Ogos 2017
Halaman: 528 
Harga : RM23.00(SM)/
RM26.00(SS)
✿✿✿✿✿✿✿
Sesiapapun aku, sayang itu tetap untukmu.
Dari belakang buku : 
MARYAM, gadis yang umurnya kian lanjut usia dan belum terbuka pintu hatinya buat sang arjuna setelah pernah dikecewakan…Sehinggalah dirinya mula didatangi seseorang yang baik bicaranya, murah dengan senyumannya. Tanpa diduga, mereka berdua menetap di bawah satu kondo yang sama!

“Kenapa saya tak pernah nampak awak?” – MIKAEL


“Resident kat sini mungkin beribu. Probability awak nak terserempak dengan saya macam satu nisbah tujuh ribu. So, memanglah kita tak pernah terserempak.” – MARYAM


Hari demi hari pun berganti sehinggalah karakter yang berbeza dalam tubuh yang sama buat pertama kali muncul di hadapan Maryam! Jejaka penuh misteri itu kadang-kadang boleh berubah menjadi seorang pemarah, kasar, jahat dan semua sikap mazmumahlah senang cakap!


“Hoi? Kau hoikan aku? Aku ada nama okey. Nama aku bukan hoi. Hafez. H-A-F-E-Z. Hafez.” – HAFEZ


“Mikael, tak payah nak main-mainlah! Siang tadi awak tak buat perangai macam ni pun.” – MARYAM



Persoalan mula bermain di minda Maryam. Siapa MIKAEL? Dan siapa pula HAFEZ? Belum lagi reda hal Mikael dan Hafez, muncul pula karakter kanak-kanak bernama Adam yang mencari ibunya! Bertambah kalut Maryam jadinya! Siapa pula ADAM? Perhubungan Mikael dan Maryam semakin rapat dan hampir beralih ke gerbang perkahwinan setelah desakan daripada ayah Maryam yang tak habis-habis meminta supaya Maryam segera berkahwin. Pada waktu itu, Maryam merasakan Mikael calon yang paling layak. Setelah berkahwin, ada lagi kejutan yang dialami Maryam. Kejutan apakah itu? Ada tiga sahajakah personaliti Mikael? Akan tersingkapkah lagi personaliti Mikael yang belum diketahui Maryam? Mampukah Maryam terus hidup dengan karakter-karakter lain Mikael? Semuanya akan terjawab dalam Split. [sumber: goodreads]

☙☙☙☙☙☙☙☙☙❦❦❦❦❦❦❦❦❦❦❦❧❧❧❧❧❧❧❧❧
Pertama kali membaca sinopsis di belakang buku, hati saya terdetik eh kenapa macam pernah jumpa  cerita yang wataknya ada pelbagai personaliti? Kemudian baru teringat kdrama Kill Me, Heal Me. Jadi, apabila saya membaca novel ini, saya tidak boleh lari dari membandingkan watak Mikael dengan watak utama dalam drama Kill Me, Heal Me. Tapi,jangan risau. Persamaan dengan drama itu hanya dari segi watak utama sahaja, jalan cerita ada perbezaannya. 

Banyak sebenarnya perkara yang ingin saya ulas tentang buku ini. Tetapi rasanya saya akan ulas tentang personaliti dalam watak Mikael sahaja. Ramai yang suka dengan personaliti Hafez tetapi ada dua personaliti lain yang rasanya tidak kurang menariknya.

Dalam banyak personaliti Mikael, saya paling suka  dengan En. Suffian dan Dhia. 

Encik Suffian akan muncul apabila Mikael rindu akan ayahnya. Encik Suffian digambarkan sebagai seorang yang sudah berusia dan suka membebel. Ada sahaja perkara yang tidak kena tentang Maryam di mata Encik Suffian. Pada awalnya, Maryam agak sukar untuk berkomunikasi dengan Encik Suffian kerana sifatnya yang asyik membebel. Adegan yang lucu apabila Encik Suffian mengejutkan Maryam semata-mata meminta Maryam membuatkan akaun facebook untuknya  jam 2 pagi!

Watak Dhia pula seorang perempuan yang lemah-lembut suka bergossip tentang personaliti lain yang ada dalam diri Mikael. Dhia akan muncul apabila Hafez rasa teruja. Kebetulan pula watak Dhia ni selalu muncul apabila Maryam dan Mikael perlu berurusan dengan orang lain.Saya suka watak Dhia kerana dia digambarkan sebagai seorang yang mudah mesra dan peramah. Dia sanggup mengeraskan dirinya untuk menyamar sebagai Mikael bagi menyelamatkan Maryam daripada Aryan. Paling lawaknya, Dhia yang enggan berkongsi popcorn dengan Syira, adik Mikael. Kesian juga membayangkan Mikael yang tiba-tiba jadi lemah gemalai apabila Dhia menguasai tubuhnya.

Secara keseluruhannya, jalan cerita agak lancar dan mudah difahami. Ceritanya juga menarik kerana lain dari yag lain dan tidak terlalu meleret-leret. Namun, ada juga adegan dalam novel ini yang rasanya kurang sesuai dengan jiwa saya. Saya amat kagum kerana penulis memang nampak bakatnya menyusun bait-bait perkataan menjadikan cerita ini tidak membosankan. Kadang-kadang agak terganggu dengan beberapa penggunaan bahasa Inggeris yang rasanya kurang tepat. Mungkin dalam penulisan akan datang , kelemahan ini akan  dapat diatasi.

Satu kutipan kata-kata yang saya suka dalam novel ini:


"Hidup apa yang mati itu mustahil? Tiada. Setiap yang bernyawa, pasti ada masanya."[Hal. 443]

Saya berharap agar penulis akan terus menghasilkan karya-karya yang bermutu dan ada niche yang tersendiri pada masa akan datang.  Buku ini saya berikan  ✩✩✩1/2 .







No comments:

Post a Comment