Friday 10 April 2020

Review Buku: Bougainvillea oleh Packy Sidique


Hai.Selamat bertemu kembali.
Hari ini saya ingin kongsikan review buku bertajuk Bougainvillea karya Packy Sidique. 

Ini merupakan buku pertama Packy Sidique yang saya baca. Saya tertarik untuk menbaca buku ini setelah membaca review di blog dan juga goodreads.


Sinopsis

Kehilangan Nina 10 tahun masih menjadi tanda tanya kepada Hakimi. Lantas dia memilih untuk menjadi seorang pegawai polis untuk mencari jawapan tentang kehilangan Nina. 

Kehadiran Deena seorang gadis yang wajahnya seiras wajah Nina telah membuka ruang untuk meneruskan pencarian Hakimi selama ini.

Mari kita lihat reviewnya di sini. 


Review:

Buku ini mengisahkan watak utamanya Hakimi yang masih mencari Nina yang hilang 10 tahun yang lalu. Dia bertugas sebagai pegawai polis berpangkat ASP di Pulau Pinang.

Turut diselitkan latar tempat di Shah Alam iaitu kediaman Deena sebelum berpindah ke Pulau Pinang. Deena juga seorang pelajar kolej di Shah Alam.
Watak utama dalam cerita ialah Hakimi dan Deena. Wajah Hakimi digambarkan seperti Rashidi Ishak dan berbadan sado seperti Salman Khan. Kali pertama Deena bersua dengan Kimi, Deena terus terpikat.

Manakala Deena digambarkan sebagai gadis yang wajahnya mirip Nina tetapi  mereka berdua memiliki karakter berbeza.

Deena seorang yang agak kasar tetapi Nina seorang yang lemah lembut. Deena juga pemilik tali pinggang hitam dalam taekwando.

Sarjan Adli merupakan salah satu watak  sampingan yang menghiburkan.Seorang pekerja yang dedikasi. Kadangkala suka membuat lawak walaupun dalam keadaan serius. Selain itu watak Zekry yang juga menaruh hati pada Nina menyebabkan dia bermusuhan dengan Hakimi atau Kimi.
Hubungan Kimi dan Deena  bermula apabila Deena tinggal di rumah milik keluarga Nina. Dia bermimpi seorang gadis meminta pertolongannya. Akhirnya dia tahu gadis itu ialah Nina. Niatnya tidak lain hanyalah untuk menolong Kimi menyelesaikan kes Nina.

Namun siapa menjangka wajahnya yang mirip Nina menjadi perhatian seseorang.

Penulisan  Packy amat menarik dan plotnya tersusun.Ada imbas kembali digunakan tetapi tidak akan mengelirukan pembaca. Penulis berjaya menyebabkan saya membaca buku ini dalam satu hari sahaja. Rasa ingin tahu menebal siapa yang punya angkara kehilangan Nina.

Rupa-rupanya tekaan saya salah. Memang penulis berjaya membina unsur saspen dengan baik dalam buku ini.  
Seperti yang saya nyatakan tadi buku ini walaupun berbentuk penyiasatan dan thriller, ada juga unsur humornya. Ini ditonjolkan melalui watak Sarjan Adli dan Deena sendiri. Ada juga diselitkan insiden lucu seperti ketika beg tangan Deena diragut. 
Buku ini amat disarankan untuk mereka yang minat dengan kisah penyiasatan.
Saya berikan buku ini ⭐⭐⭐⭐⭐ kerana jalan cerita yang menarik dan tidak meleret-leret. Sedih, lucu, saspen semua ada dalam buku ini. Plot yang tersusun dan penggunaan bahasa yang mudah difahami.Penceritaannya seolah-olah pembaca turut termasuk dalam cerita ini.

Selepas ini saya berharap akan dapat membaca karya karya Packy yang lain. Semoga penulis akan terus menghasilkan karya yang bermutu pada masa hadapan.
p/s Mula-mula tertanya juga kenapa tajuknya Bougainvillea. Semua itu terjawab pada akhir cerita.

Pengajaran penting dalam buku ini pada pandangan saya ialah jangan menyembunyikan kesalahan seseorang itu walaupun kita sangat sayang kepadanya.

Tajuk : Bougainvillea
Penulis :Packy Sidique
Penerbit: Jemari Semi
Tahun: 2012
Halaman: 584
Bacaan eBook PNM


No comments:

Post a Comment