Friday 8 January 2021

Quartet Mini Book Reviews: Ebook karya Estelle Richards


Helo. Bertemu kembali.

Hari ini  saya ingin kongsikan empat reviu mini ebook yang saya baca pada beberapa hari yang lepas. Keempat-empat ebook itu ditulis oleh penulis yang sama iaitu Estelle Richards.

Kesemua ebook itu saya baca secara percuma melalui Google play books. 

Mari kita mulakan reviewnya. 

sumber: goodreads


March Street Murder. 

Buku pertama dalam siri March Street Cozy Mystery. Watak utama ialah Kelly yang menetap bersama neneknya Iris dan anjing peliharaan neneknya,Buddy. Kelly seorang pelukis yang berbakat tetapi bakatnya masih belum mendapat pengiktirafan mana-mana pihak. Oleh itu, beliau menyara hidup dengan bekerja di kafe. 

Pekerjaannya di kafe tersebut membawa dia kepada satu kes pembunuhan. Maka bermulalah perjalanan hidupnya sebagai penyiasat amatur bersama neneknya. 

Penulis bijak mengolah cerita walaupun hanya dalam 51 muka surat sahaja. Walaupun pendek tetapi penceritaannya tidak tergesa-gesa. Jalan cerita lancar dan bahasa yang mudah difahami. Semua elemen mencukupi untuk sebuah kisah penyiasatan. Ada unsur saspen, humor, suspek, dan bukti. 

Buku ini sesuai untuk bacaan santai bagi yang meminati cozy mystery. Watak Kelly juga digambarkan sederhana tidak seperti sesetengah heroin yang digambarkan sangat cantik dan menarik. 

Buku ini saya berikan 4 bintang. 


sumber: goodreads

March Street Mayhem. 

Buku kedua dalam siri March Street Cozy Mystery. Kalau dalam buku pertama ceritanya mudah difahami, buku kedua ini sedikit berbeza. Kelly dan neneknya Iris sekali lagi terjebak dalam satu kes pembunuhan. Kali ini mangsanya seorang lelaki yang menyamar sebagai orang lain. Motif pembunuhan kali ini agak sukar dijangka. Ternyata telahan saya silap tentang motif walaupun pelakunya dapat diteka. 

Sekali lagi penulis berjaya mengolah cerita yang menarik secara ringkas dan padat. Cuma saya terpaksa membaca sesetengah perenggan itu berulangkali untuk memahami jalan cerita. 

Buku ini saya berikan 3.75 bintang jadi menghampiri 4 bintang. 

sumber: goodreads


March Street Malice. 

Buku ketiga dalam siri March Street Cozy Mystery. Buku ini merupakan buku pertama yang saya baca dalam siri ini semasa menunggu detik tahun baru 2021.Kebetulan buku ini juga berlatarbelakangkan malam tahun baru menyebabkan saya memilih untuk membacanya. 

Kelly dan neneknya Iris terjebak dalam satu kes pembunuhan yang mana kali ini mangsa ialah jiran mereka. Saya suka buku ini kerana jalan cerita tidak meleret-leret. Pelakunya juga agak mudah untuk dijangka berdasarkan petunjuk-petunjuk yang diberikan. Gabungan Kelly dan neneknya dalam menyelesaikan kes pembunuhan ini memang padan. Neneknya walaupun sudah berusia lebih 80 tahun tetapi masih bertenaga untuk menyiasat kes tersebut. Rasa bersemangat pula untuk menjaga kesihatan seperti Nenek Iris.

Buku ini juga saya berikan 4 bintang.

Itu sahaja mini review saya untuk ketiga buku dalam siri March Street Cozy Mystery. Saya menjangkakan akan ada lagi satu buku dalam siri ini kerana berdasarkan pemerhatian, buku pertama berlatarkan musim panas.Buku kedua musim luruh dan buku ketiga musim sejuk. Mungkin kah buku keempat musim bunga?


sumber: goodreads

Shooting on Location. 

Review buku keempat masih daripada penulis yang sama tetapi siri Cozy Mystery yang berbeza iaitu siri Lisa Chance Cozy Mystery. Buku yang bertajuk Shooting on Location ini merupakan buku kedua dalam siri tersebut.

Lisa Chance pemilik sebuah kedai kopi yang sedang meningkat naik. Dia merupakan seorang bekas pelakon yang mencuba nasib di Hollywood tetapi impiannya tidak tercapai. Maka keputusan untuk membuka sebuah kedai kopi di Moss Creek merupakan peluang terakhir untuk dia membuktikan dia boleh berjaya. 

Sebuah syarikat penerbitan filem bercadang untuk menjadikan tempat tinggal Lisa sebagai lokasi penggambaran. Lisa telah dipilih sebagai pencari lokasi dan juga pembekal makanan dan minuman di lokasi penggambaran. Peluang untuk menambahkan pendapatan kedainya tidak dilepaskan begitu sahaja.

Namun, tidak disangka-sangka bekas kekasihnya Dylan turut terlibat dalam penggambaran tersebut. Bagaimanakah Lisa perlu menjelaskan dia sudah melupakan Dylan dan dia sudah memiliki teman baharu, Mo.

Penggambaran menjadi satu tragedi apabila watak utama meninggal dunia kerana ditembak menggunakan pistol sebenar semasa adegan tembak-menembak. Dylan telah menjadi suspek utama kerana pistol tersebut ada di tangannya. Lisa perlu mencari siapakah pembunuh sebenar sebelum orang tidak bersalah dituduh sebagai pembunuh.

Saya suka jalan cerita ini sebab melibatkan suasana yang agak berbeza iaitu lokasi penggambaran. Saya juga belajar sedikit tentang istilah yang digunakan dalam dunia penggambaran. Lisa juga digambarkan sebagai seorang yang mahir membancuh pelbagai jenis kopi. Nampak sedap je kopi yang dibuat oleh Lisa. Keletah kucing Lisa iaitu Mama Cat pun comel. 

Namun,  ada beberapa kejadian yang kurang memuaskan terutamanya pada pengakhirannya. Selain itu, kisah hubungan dingin antara ibu bapanya  kelihatannya agak meleret-leret. Tetapi buku ini keseluruhan masih boleh dibaca untuk merelakskan minda.

Buku ini saya berikan 4 bintang kerana latar tempat yang melibatkan lokasi penggambaran filem.


No comments:

Post a Comment