Sunday 7 December 2014

Antologi Cerpen Hujan Turun Lagi

Tajuk :  Antologi Cerpen Hujan Turun Lagi

Penulis : A.Darwisy,Diyana Farah,Dhieya Adlynna dll.
ISBN:  978 9831248652
Penerbit: Alaf 21
Tahun:2013
Halaman:~423
Harga : RM19.90 (SM)/RM22.90 (SS)




Antologi Cerpen  Hujan Turun Lagi ini adalah kompilasi 25 cerpen yang lahir daripada laman web Ilham Grup Buku Karangkraf. Pelbagai kisah suka, duka, lucu, dan seram dipaparkan dalam kompilasi cerpen ini. Tahniah diucapkan kepada semua penulis yang cerpen mereka dimuatkan dalam antologi ini. Kulit buku ini sangat menarik sesuai dengan tajuk cerpen yang dipilih sebagai tajuk antologi iaitu Hujan Turun Lagi. Penggunaan warna yang menarik terutama warna payung yang berwarna-warni seolah-olah menggamit bakal pembeli untuk membeli buku ini. 
Saya membeli buku ini kerana tidak memerlukan banyak masa untuk membaca cerpen-cerpen yang dimuatkan dalam buku ini sehingga habis.Berikut ulasan untuk lima cerpen yang menarik pada pendapat saya  :
1.  Hujan Turun Lagi-A.Darwisy
  • Diah bersua  dengan Jaffri buat pertama kali di Pasar Seni. Dia tertarik dengan origami yang dibuat oleh Jaffri. Pertemuan kali kedua, Diah cuba menyelamatkan origami berbentuk kiambang di pantai Teluk Cempedak. Diah hampir lemas dan diselamatkan oleh Jaffri. Perhubungan mereka berlanjutan hingga ke jinjang pelamin.Namun, satu peristiwa telah   menyebabkan Diah hidup dalam kedukaan. 
2.  Kerusi-Zakri Rahman 
  • Semenjak Adib membeli sebuah kerusi antik dia melupakan segala-galanya. Hidupnya tidak pernah berenggang dengan kerusi tersebut sambil menonton apa sahaja siaran di kaca televisyen. Sebenarnya Adib telah membeli kerusi milik penulis ternama, Hanifah Harum, yang ditemui mati secara misteri di kerusi tersebut. Akhirnya, rakan baik Adib membantu untuk menghapuskan kerusi tersebut. Tetapi anda bakal dikejutkan dengan akhiran yang tidak disangka!
3.  Tulip Tidak Berbunga-Aiza Zizan
  • Kisah perhubungan antara uda dan dara yang sederhana. Saya suka cerpen ini kerana latar tempatnya diceritakan dengan baik. Seolah-olah pembaca berada di Michigan bersama-sama Win dan Duan. Win dan Duan berada di tahun akhir pengajian mereka. Sikap Duan menimbulkan tanda tanya di hati Win.Win amat gembira apabila Duan berjanji untuk makan bersama sebaik peperiksaan akhir mereka selesai. Apa yang berlaku selepas itu? Adakah Duan akan memberikan jawapan yang pasti kepada Win?
4.  Psiko-Syafeza Sauli
  • Cerita ini mempunyai kelainan kerana watak utamanya, Sutera, menghadapi masalah mental. Dia selalu mendengar suara ghaib yang memberitahunya tentang perkara yang bakal berlaku.Dia telah dituduh membunuh ibu dan ayah angkatnya. Sutera tahu siapa pembunuh sebenar ibu dan ayah angkatnya melalui suara ghaib itu. Hanya seorang doktor yang mempercayai kata-katanya.
5.  Misteri Nenek Tua-Wanzz Aprilzz
  • Farah seorang penulis menyewa sebuah rumah di atas bukit. Pada malam pertama Farah mendiami rumah itu dia didatangi seorang nenek tua. Seminggu kemudian,  dia mengalami peristiwa  pelik yang menyebabkan dia lari daripada rumah tersebut. Apakah rahsia nenek tua itu? Ha, kenalah dapatkan buku ini untuk mengetahui kisah selanjutnya...
Antologi cerpen ini saya berikan 3 bintang.

No comments:

Post a Comment