Saturday 18 March 2017

Review: DIARI MAT DESPATCH NALURI AYAH

Tajuk : Diari Mat Despatch Naluri Ayah 
Penulis : Bahruddin  Bekri 
ISBN : 9780674011628
Penerbit: PTS One Sdn Bhd
Tahun :2012
Halaman: 173 
Harga : RM9.90(SM)/RM10.90(SS)

Ayah tidak pernah mengajar aku cara bercinta.
Namun, ayah mengajar aku erti cinta.

Semuanya bermula apabila ayah aku yang bermulut sinis, 
kagum kepada orang kerja pejabat, dan mudah percaya kepada orang lain, 
datang melawat aku di rumah sewa.

Hidup aku yang tenang menjadi 'huru-hara'.

Huru-hara yang bagaimana? Aku sudah tulis semuanya dalam diari ini. (sumber: goodreads)
Diari Mat Despatch merupakan buku genre Pelit iaitu Personal Literature atau Jurnal Peribadi. Diari Mat Despatch Naluri Ayah merupakan tajuk kelima dalam siri Diari Mat Despatch. Sebelum ini saya telah membaca tajuk Diari Mat Despatch pertama sahaja. 

Dalam buku kelima ini, Rayyan masih bekerja di syarikat yang sama dan dia masih berusaha untuk mencapai impiannya sebagai editor sambilan. Kali ini, ayah Rayyan datang berkunjung dari kampung. Ayahnya memberitahu hasratnya untuk mencari rakan lamanya bernama Kamal Hassan. Sepanjang seminggu ayahnya tinggal bersama Rayyan di Kuala Lumpur, bermacam-macam perkara yang berlaku. Apa yang menghairankan Rayyan, ayahnya seolah-olah tidak teruja untuk mencari Kamal Hassan walaupun sudah mendapat alamatnya. 

Dalam buku ini, pada awal bab kita diperkenalkan dengan watak-watak yang berkaitan dengan Rayyan. Antaranya ialah ayahnya, Encik Zahid Hamidi, rakan serumah iaitu Azmeer Nordin, Joehary, Shamsul Patrick, majikannya Encik Ghazali, rakan sekerja, dan rakan di kedai makan seperti Suzy dan Mahmud.

Beberapa kutipan ayat-ayat menarik dalam buku ini:
1.  "Perempuan yang bahagia bukanlah perempuan yang tidak pernah kecewa. Tetapi perempuan yang bahagia adalah perempuan yang tahu makna kecewa dan duka." (Hal. 48)

2."Naluri seorang ayah termasuklah naluri untuk melindungi, naluri untuk mengasihi, dan naluri bagi melihat orang yang dikasihi itu bahagia."(Hal . 65)

3."Apabila kita cuma mengisi mata, hati kita pula akan menjadi kosong.Itulah yang menyebabkan kehidupan kita berasa kosong, apabila hati kita kosong". (Hal. 93)

4."... tetapi yang susahlah yang kita perjuangkan. Sekiranya ia perkara mudah, ia bukan dinamakan perjuangan. Itu namanya tidur". (Hal. 138)

5."Kematangan bukan hanya memikirkan perkara-perkara yang besar tetapi ia bermula dengan memerhatikan perkara-perkara yang kecil". (Hal. 173)

Setelah Rayyan bertemu dengan Kamal Hassan , barulah dia mengerti tujuan sebenar ayahnya ke ibu kota. Bermacam rasa ada apabila membaca buku ini. Ada kelakar, sebak dan gembira. Buku ini benar-benar menunjukkan naluri seorang ayah yang bersifat melindungi anaknya. Kulit buku yang simple tetapi comel. Font yang digunakan dalam penulisan buku ini juga jelas dan mudah dibaca. Mungkinkah akan ada lagi kesinambungan siri Diari Mat Despatch? Buku ini saya beri 4 bintang!

No comments:

Post a Comment