Sunday 19 March 2017

REVIEW: GOSIP oleh LILY HASLINA

Sumber: Klik di sini
Tajuk : Gosip 
Penulis  : Lily Haslina Nasir
ISBN : 9789671211281
Penerbit : DYKN
Tahun : 2015
Halaman: 395
Harga : RM21(SM)/ RM24(SS)

Betul ke perempuan suka membebel? Sungguh ke perempuan kuat bercakap? Suka mengumpat? 
(Hal. 1)
Zaza kembali lagi dengan kisah perempuan kaki gosip. Sesiapa yang telah membaca novel Coklat oleh Lily Haslina pasti masih ingat tentang kisah Zaza dan tiga sahabat karibnya. Kali ini, Zaza menjadi bahan gosip panas di kolejnya. Kononnya, Zaza menggunakan bomoh untuk menguruskan badan. Siapa yang membuat gosip tersebut? Tak lain tak bukan Asyikin dan Maliz yang masih iri hati dengan Zaza. 
Paling menyedihkan Fariz turut percaya dengan gosip yang disebarkan tentang Zaza. Mujurlah rakan-rakan karib Zaza masih percaya akan Zaza dan sentiasa di sisinya apabila gosip tersebut bertiup kencang. Tidak cukup menfitnah Zaza menguruskan badan menggunakan bomoh, Asyikin dan Maliz menokok tambah cerita. Zaza dikatakan membuat pembedahan plastik dan menyedut lemak semasa bercuti di Bangkok. 
Pada masa yang sama, Sultan yang memerintah negara Bumi Emas berkenan dengan Zaza setelah membaca kisahnya di majalah. Kesungguhan Zaza untuk menguruskan badan dengan cara yang sihat menarik baginda untuk mengenali Zaza dengan lebih dekat. Malah, baginda berhasrat untuk menyunting Zaza sebagai permaisuri hati. 
          〰〰〰〰〰〰〰〰〰〰〰〰〰〰〰〰〰〰〰〰〰〰〰〰〰〰〰〰〰

Kesian Zaza yang menjadi bahan gosip. Satu kolej percaya akan gosip tersebut tanpa usul periksa. Mujurlah Zaza seorang yang cekal walaupun adakala kesabaran ada hadnya. Kali ini kesabarannya benar-benar diuji. Pada masa yang sama, Zaza tahu siapa yang benar-benar sahabat sejati. Seperti dalam novel Coklat, beberapa tips dan artikel berkaitan turut diselitkan. Antaranya petua mendapatkan bibir yang cantik. Kelakarnya apabila Zaza meletakkan terlebih ubat gigi di bibirnya. 
     Secara peribadi, novel Coklat lebih menepati citarasa saya berbanding Gosip. Mungkin kerana dalam novel Gosip,watak Fariz kurang menyerlah dan kelihatannya kurang memberi sokongan kepada Zaza. Mungkin kerana Asyikin dan Maliz yang begitu pandai berkata-kata menyebabkan Fariz percaya akan gosip tersebut. 
       Seperti dalam novel yang lepas, Zaza bertuah mempunyai rakan-rakan yang setia bersama dan sering memberi dorongan ketika Zaza dilanda kesusahan. Zaza juga beruntung kerana mempunyai ibu bapa yang prihatin dengan masalah yang dihadapinya. Sikap ibu bapanya itu menyebabkan dia berasa selesa untuk berkongsi masalah dengan mereka. 
   Betullah, gosip boleh menyebabkan hidup si mangsa gosip menjadi porak-peranda. Kesimpulannya, elakkanlah menjadi penyebar gosip dan selidikilah sesuatu perkara sebelum percaya.
Novel ini saya beri 3 1/2 bintang. 

No comments:

Post a Comment