Friday 9 June 2017

Vignette oleh Syud


Tajuk: Vignette
Penulis : Syud
Penerbit: Jemari Seni
ISBN: 9789670851457
Tahun: Ogos 2016 (cetakan kedua)
Halaman:516
Harga:RM25.00(SM)/RM28.00(SS)


Dia tu macam... vignette.
Keliling gelap, tengah-tengah sahaja yang jelas. 
Dan tak ada garis jelas yang memisahkan antara keliling yang gelap 
dengan tengah yang terang itu. 
Macam mimpi.
[i]
Kata Najiha:
“Aku nak kekalkan sikap aku yang hanya akan ingat benda gembira.
“Eloklah tu. Ubah angin, ubah tempat. Hijrah itu satu benda yang elok.”
Dia berhijrah untuk memulihkan keadaan hatinya yang sedikit calar. Calar yang tak ada kesan pun… kan? Hijrah juga bermaksud, (a) dia akan jumpa orang yang dia tak pernah jumpa; (b) pernah jumpa tapi tak ingat; atau (3) orang yang memang dia pernah jumpa dan ingat.

“Najiha.” Dia memperkenalkan diri.
“Nice meeting you, Najiha.”

Tapi dia rasa dia tak pernah jumpa lagi orang yang malas nak bercakap macam Si Dahi Kerut ni. Atau mungkin... dia pernah jumpa.... kut?

[ii]
Pada Firdaus:
Matahari tu, orang kata, sifatnya terang, panas – dan hidupan atas muka bumi ini tak boleh hidup tanpa matahari. Najiha itu, bagi Firdaus macam matahari. Terang – dan buat dia sentiasa tercari-cari.

“Awak memang suka cakap sepatah-sepatah kan?”
“Ha. Saya memang suka cakap sepatah-sepatah.”

Dan kalaulah matahari itu hilang, tak mungkin dia tidak terkesan, kan? (sumber: goodreads)

♡♡♡♡♡
Oleh kerana satu insiden, Najihah mengambil keputusan untuk bertukar tempat kerja. Di Bristol Technology, Najihah memulakan lembaran baru dalam hidupnya. Najihah atau nama mesranya Jiji telah bertemu dengan Firdaus Hadi. Pertemuan pertamanya dengan Firdaus @ Fir tidak bermula dengan baik. Fir dianggap menjengkelkan kerana enggan menyertai program team building yang telah dirancang oleh Jiji untuk syarikat tempat mereka bekerja. Mujurlah selepas itu, Fir bertemu dengan Jiji dan memberitahu akan menyertai program tersebut. Hatinya tertanya-tanya di mana dia pernah bertemu dengan lelaki tersebut sebelum ini.

Najihah digambarkan sebagai seorang yang peramah dan sentiasa tersenyum. Tetapi, hanya rakan-rakan baiknya sahaja tahu dia tidaklah seceria dahulu selepas sesi luahan perasaannya terhadap Reza. Minatnya terhadap kucing juga membuatkan hubungannya dengan Fir bertambah rapat. Niatnya untuk menjadi matchmaker bagi pihak  Wir dan Ilham menjadi sebaliknya.☺

Firdaus digelar si dahi kerut oleh Jiji kerana suka mengerutkan dahinya. Dia juga  jarang tersenyum apatah lagi ketawa menyebabkan Jiji menganggap Fir seorang yang sombong. Jiji juga menyamakan nada percakapan Fir yang mendatar sebagai satu garis lurus jika diterjemahkan ke dalam bentuk graf. Fir juga digambarkan sebagai abang sulung yang bertanggungjawab terhadap tiga orang adiknya. 
♡♡♡♡♡

Baru perasan yang Jiji ni kawan baik kepada Lisa (Tentang...Dhiya). Wardah, staf baru di Bristol Technology, isteri kepada Pacai.(Baju Melayu Hijau Serindit). Karya Syud bukanlah asing bagi saya. Sebelum ini saya mengenali tentang Syud lewat novel-novelnya Tentang ... Dhiya dan Untuk Awak Teja Aulia. Secara keseluruhannya, novel Syud kali paling memenuhi citarasa saya. Banyak kisah yang lucu, manis , comel, walaupun ada juga yang detik-detik sedih diselitkan. Kisah dalam novel ini bercerita tentang kehidupan biasa, yang dekat di hati  dan ditulis dengan bahasa yang mudah. Tidak ada kisah orang-orang korporat atau jutawan yang terlalu klise dalam novel-novel kini. 

Cuma yang masih menimbulkan tanda tanya saya ialah apakah kisah antara Firdaus dan adiknya Fakhrul? Apa yang telah dilakukan oleh Fakhrul sehingga Firdaus seolah-olah tidak mengendahkannya? 

Tahniah Syud untuk novel Vignette. Saya berharap agar Syud akan terus berkarya dan menghasilkan novel-novel berkualiti pada masa akan datang. Novel ini saya berikan ☆☆☆☆½

⚘⚘⚘⚘⚘
Tulisan Syud selalu membuat pembacanya terasa muda. Kelebihan Syud tentulah terletak pada kemahirannya menyusun plot dan watak-watak. Syud, penulis yang berjaya membina identiti sendiri pada karya-karyanya yang sentiasa segar dan pengakhiran yang manis! - Noor Suraya

No comments:

Post a Comment