Saturday 30 September 2017

Review Buku Kucing Kucing Hota Hai


Tajuk: Kucing Kucing Hota Hai 
Penulis : Shahkang
Penerbit: Kata Pilar Books
ISBN: 9789672014140
Tahun:  April 2017
Halaman: 201

Dari belakang buku:
Pernahkah anda terfikir, bagaimana jika seorang manusia boleh memahami bahasa kucing? Itulah kelebihan Danial Aqasha, seorang pensyarah bujang yang baru sahaja putus tunang. 


Danial membela seekor kucing hitam bernama Tam. Tujuannya hanya satu– untuk memikat seorang guru sekolah dan peminat kucing bernama Kajol Cempaka. Asalnya hanya untuk dijadikan umpan memikat Kajol Cempaka, kehadiran Tam membawa erti yang jauh lebih besar. Danial mula memahami permasalahan komuniti kucing di sekitar rumahnya di Taman Setia - kucing bergaduh kerana berebut jawatan, kucing bercakaran kerana khabar angin, kucing menipu untuk menjual produk kecantikan, kucing taksub dengan media sosial bernama Cakar Book dan bermacam-macam lagi. 

Apakah kesudahan kisah komuniti kucing Taman Setia yang penuh dengan seribu satu ragam ini?

Dapatkah akhirnya Danial memikat Kajol Cempaka?

Semuanya terjawab dalam naskhah ini. 

“Berbekalkan imaginasi yang subur, penulis 'mengintai' dunia kucing, dan menemukan begitu banyak kisah menarik untuk dikongsi bersama pembaca. Mungkin apa saja jungkir balik dalam kehidupan manusia akan berlaku dalam mana-mana bangsa makhluk, jika mereka mempunyai keupayaan berfikir dan bermasyarakat. Ah, kalaulah saya dapat memahami bahasa ayam atau bahasa angsa!”

Dr Adibah Abdullah {sumber: goodreads]
⚘⚘⚘⚘⚘⚘⚘
Review saya: 
Kita mulakan dengan kulit buku. Objek pertama yang menangkap pandangan saya ialah seekor kucing hitam di atas kepala seorang pemuda berkaca mata. Itulah Tam, kucing peliharaan Danial. Semasa PBAKL17 yang lalu saya pergi ke reruai Kata Pilar untuk membeli buku Misi Impossible. Dek tertarik dengan tawaran , beli 3 dengan harga berpatutan (tak ingat berapa), saya memilih dua buah lagi buku di rak-rak tersebut. Pandangan saya terus tertancap pada tajuknya. Menarik fikir saya kerana ada kucing. Setelah membelek blurb di belakang, saya pun membeli buku ini. 
Ternyata pilihan saya tidak salah. Isi buku ini bagi saya page turner. Selagi tak habis, selagi itu tidak mahu berhenti membacanya.
Buku ini memaparkan kehidupan seharian kucing-kucing di Taman Setia. Mereka juga tidak sunyi dilanda masalah. Penulis menyelitkan isu-isu manusia yang diperankan oleh kucing-kucing tersebut.
Apa yang menarik, Danial boleh memahami bahasa kucing. Dia selalu berbual dengan Tam dan melalui Tam dia mengetahui isu-isu yang dibincangkan oleh kucing-kucing Taman Setia. 
Saya suka karakter Tam yang comel digambarkan sebagai kucing betina yang gemuk dan suka tidur. Ia mengingatkan saya tentang kucing saya sendiri. Perangainya lebih kurang sama! Selain Tam, karakter kucing lain dalam buku ini ialah Siti Musliha, Kak Nor, Pendeta Zack, Minah Radio, dan lain-lain. Siti Musliha, kucing peliharaan Kajol Cempaka selalu menipu kucing-kucing lain dengan produk jualannya. Minah Radio pula digambarkan sebagai kucing betina yang sering menyebarkan fitnah dan khabar angin kepada kusing di kawasan tersebut. 
Kucing-kucing di situ juga seperti manusia mempunyai media sosial mereka iaitu Cakar Book.Tamlah yang menterjemahkan apa maksud cakaran yang sering dicakar oleh kucing-kucing setempat kepada Danial. 
Bagaimana pula hubungan Danial dan Kajol Cempaka? Secara tidak langsung, Tam memainkan peranan dalam hal ini.
Buku ini juga turut diselitkan dengan fakta-fakta berkaitan kucing seperti fungsi misai kucing dan sebab kucing mengunyah rumput. Saya suka semua cerita dalam buku ini. Selain menghiburkan, cerita ini membuatkan kita berfikir, oh ini berlaku dalam kehidupan manusia. Contohnya ketaksuban kucing dengan produk pemutih bulu, Cakar Book dan lain-lain.
Saya cadangkan buku ini bagi yang minat kucing. Tetapi yang bukan minat kucing pun boleh baca. Lepas ini, saya mahu mencari karya-karya Shahkang yang lain juga. Buku ini saya berikan ✩✩✩✩✩

No comments:

Post a Comment