Sunday 16 August 2020

Review Buku: Orang-orang Biasa (Andrea Hirata) - Edisi Malaysia




Helo dan salam sejahtera.
Semoga semua dalam keadaan yang sihat sejahtera.

Hari ini saya akan kongsikan review buku bertajuk Orang-orang Biasa.Penulisnya ialah Andrea Hirata yang terkenal dengan bukunya yang bertajuk Laskar Pelangi.Malahan beliau telah menerima  pengiktirafan antarabangsa bagi buku Laskar Pelangi.

Saya terbaca promo tentang buku  ini di media sosial yang menyatakan buku pertama Andrea Hirata genre jenayah.Lantas saya tertarik untuk mendapatkan buku ini.

Selepas membaca buku Projek Bibliofil semangat membaca saya terus berkobar-kobar.Lalu saya meneruskan pembacaan buku ini pula.Tidak sia-sia saya memilih buku ini kerana ceritanya memang unik.


Sinopsis:

Daerah Belantik sebuah tempat yang aman damai.Kes jenayah hampir tiada menyebabkan pihak polis tempat tersebut seperti mati kutu.

10 sahabat sekelas yang lemah dalam pencapaian akademik berpakat untuk melakukan rompakan. 


Review:

Pada awalnya saya pelik kenapa pada kulit depan kelihatan manusia memakai topeng monyet. Namun,semua ini  terjawab pada pertengahan cerita ini.

Perjalanan awal cerita agak perlahan dimulai dengan kisah Inspektor polis bernama Abdul Rojali (peminat Shah Rukh Khan) dan pembantunya Sarjan P.Arbi. Mereka berdua agak kebosanan kerana tempat mereka yang hampir tiada jenayah berlaku.

Kemudian kita diperkenalkan dengan 10 orang rakan sekelas yang menjadi rapat kerana kekurangan masing-masing dari segi akademik dan fizikal.Watak-watak itu terdiri daripada Debut,Salud,Junilah,Dinah,Sobri,Honorun,Nihe, Handai, Rusip, dan Tohirin.
Boleh dikatakan kesemua mereka menjadi orang-orang biasa apabila meningkat dewasa.

Pada masa ini saya agak keliru kerana saya mengandaikan mereka masih kanak-kanak.Tiba-tiba Dinah ada anak bernama Aini yang fobia dengan subjek Matemarik sama seperti ibunya. 

Rupa-rupanya seperti ada diselitkan teknik imbas kembali yang penulis gunakan untuk menerangkan tentang latar belakang 10 sekawan ini.

Pada pendapat saya walaupun buku ini genre jenayah tetapi disampaikan secara santai dan unsur lucu.

Bayangkan 10 orang biasa yang tidak pernah melakukan kejahatan merancang untuk melakukan rompakan. Malahan untuk melakukan rompakan mereka bermesyuarat rahsia sampai 22 kali . Mereka menonton DVD filem untuk mengetahui teknik merompak.

Bilangan perompak yang ramai menyebabkan saya teringatkan filem Ocean's Eleven. Kebetulan pula penulis turut menyebut tentang filem tersebut dalam buku ini.

Paling lucu ialah pada hari rompakan itu salah seorang ahlinya sempat berpantun dalam memberikan amaran rompakan. Alasannya dia mahu ada nuansa budaya lokal. Bahagian kejadian rompakan ini saya baca berulang kali sambil ketawa hingga mengalirkan air mata.😂

Penulis berjaya memberikan debaran kepada pembaca terutamanya dalam misi rompakan itu.Adakah orang- orang biasa ini akan berjaya dalam misi mereka?Apakah motif rompakan mereka?

Plot twistnya juga mengejutkan bagi saya.Mungkin saya terlalu underestimate keupayaan 10 sahabat ini.

Penulis menerapkan tentang kepentingan pendidikan dan juga sekilas kita mendapat gambaran tentang pendidikan di negaranya.Contohnya, Aini yang banyak kali gagal Matematik akhirnya berjaya setelah berusaha dengan  gigih. Namun ada cabaran yang perlu dihadapi oleh Aini dan keluarganya.

Selain itu, nilai integriti tinggi seorang penjawat awam ditunjukkan melalui Inspektor Abdul Rojali.Misalnya beliau tidak menerima wang sogokan walaupun beliau memerlukan wang tersebut.

Kesimpulannya, buku ini memang terbaik. Sudah lama saya tidak rasa seseronok ini apabila membaca buku. Rasa berdebar dan suspen.

Bagi yang belum pernah membaca karya Andrea Hirata dan suka genre jenayah saya mencadangkan  buku ini.

Petikan kata-kata yang saya suka dari buku ini:
...Kita memang bodoh, kita memang miskin  tetapi kita bukan pencuri!Apa lagi perompak! (Hal. 90)
 Dan,tak ada pembunuh yang lebih berdarah dingin membunuh kreativiti selain rutin. (Hal.139)
Syabas diucapkan kepada Andrea Hirata kerana penulisannya yang menarik dan saya akan mencari hasil karyanya yang lain nanti.

Buku ini saya berikan ⭐⭐⭐⭐1/2



Butiran buku:

Tajuk: Orang- orang Biasa
Penulis: Andrea Hirata
ISBN:9789671754382
Penerbit: Jejak Tarbiah (Edisi Malaysia)
Tahun:2020
Halaman:298
Harga: RM28.00
Belian online di Jejak Tarbiah (Shopee)

No comments:

Post a Comment