Saturday 15 August 2020

Review Buku: Projek Bibliofil:Melawan Mitos Bangsa Malas Membaca


Tajuk: Projek Bibliofil : Melawan Mitos Bangsa Malas Membaca
Penulis: Zahrah Yunos
ISBN: 9789671588703
Penerbit: Zahrah Binti Md Yunos
Tahun: Oktober 2018(cetakan kedua)
Halaman:114 
Harga:RM25.00
Belian Online di Jejak Tarbiah(Shopee)

Saya tahu tentang kewujudan buku ini setelah selesai PBAKL 2019.Jadi saya pun tidak pasti sama ada buku ini ada dijual semasa pesta buku itu berlangsung atau tidak. Kebanyakan review tentangnya amat memberangsangkan mendorong saya untuk membelinya.



Kulit buku ini menarik perhatian saya. Warnanya yang pastel dan manis merupakan satu bonus pada pandangan saya.Jika tidak silap kulit buku cetakan pertama berbeza dengan yang saya beli ini.

Buku ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian awal berkaitan dengan topik untuk menjadi pembaca. Bahagian kedua pula menunjukkan hubung kait buku dengan kehidupan manusia.

Saya suka buku ini kerana ada topik yang bersifat interaktif. Membaca buku ini mendorong saya berfikir dan berinteraksi dengan diri sendiri tentang apa yang ditulis oleh penulis.

Misalnya penulis menyatakan bahawa buku malar segar peringkat individu. Setiap orang pasti ada buku yang dianggap malar segar yang boleh diwariskan kepada generasi akan datang. 

Sebelum ini saya selalu beranggapan buku malar segar itu semestinya buku yang diiktiraf oleh umum sahaja layak digelar buku malar segar.

Tidak dinafikan kadang-kadang kita akan berkecenderungan untuk membeli buku tanpa membacanya. Maka wujudlah Tsundoku. Bacalah buku ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut maksud Tsundoku.

Saya juga mengakui kesibukan dengan teknologi banyak menyebabkan masa untuk membaca telah dicuri. Malahan semasa membaca buku ini saya terdetik untuk mencari tentang perkara yang dinyatakan oleh penulis.Tetapi saya tahu jika saya mencari dalam Google pasti saya akan terleka. Saya tahan diri dan meneruskan bacaan sehingga tamat.


Kesimpulannya buku  ini memberikan satu nafas baru bagi yang mengalami reader's block dan juga sesuai untuk pemula. Banyak tips untuk membaca yang dikongsikan dalam buku ini.Bonus kerana ada 10 helai jurnal membaca disertakan dalam bab akhir.

Antara mutiara kata yang saya suka dalam buku ini ialah:
Buku adalah senjata yang mampu mempengaruhi pemikiran dan peribadi seseorang.(Hal. 112)
Oleh itu, pentingnya membaca dengan sikap penuh kesedaran dan kematangan.

Buku ini saya berikan ⭐⭐⭐⭐

No comments:

Post a Comment